Saya juga ingin mengucapkan rasa penghargaan dan penghormatan kepada semua ahli Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia Cawangan Perak yang selama ini sentiasa memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama saya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan kita melalui satu suara dan satu nada.
Penghargaan dan penghormatan ini juga semestinya tidak terlepas untuk saya tujukan kepada semua tetamu jemputan yang sudi hadir ke majlis yang tidak seberapa ini namun mempunyai roh dan semangat persaudaraan dalam perjuangan. Juga untuk semua mantan-mantan pemimpin KPHMSM Cawangan Perak yang selama ini begitu dedikasi dan komited mengharungi jerit perih pahit getir perjuangan. Merekalah yang merintis jalan menghadapi suka duka demi untuk memastikan kita menikmati sedikit kemanisan berjemaah. Dan melalui lorong berliku yang mereka harungi itulah saya kini berada di ruang gelanggang bercahaya dan bergema dengan sokongan tuan-tuan.
Gelanggang telah tersedia, nafiri dan gong dan telah bergema, ayuhlah sahabat-sahabatku, bangunlah saudara-saudaraku, sahutlah laungan bersatu, bukalah pencak tari dan aturlah langkah pendekarmu. Langkah pertama tanda perwira kini bermula.
Khairullah Abd Latiff
Pengerusi KPHMSM Caw Perak

No comments:
Post a Comment