SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Tuesday, January 25, 2011

PERJUMPAAN DENGAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN

Pada 24 Januari 2011 wakil KPHMSM telah dijemput ke Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar bagi menghadiri perjumpaan dengan Y. Bhg. Dato’ KSU untuk membincangkan isu tuntutan melalui memorandum yang telah dikemukakan oleh pihak KPHMSM.
Barisan wakil KPHMSM yang telah turut serta terdiri dari saudara Ahmad Shuffir Zakaria (Presiden), saudara Syed Kassim Syed Mustafa (Timb. Presiden), saudara Hasmi Hamidan (setiausaha), saudara Khairulrizal Abu Kassim (Pen. S.U), saudara Shabudin Ahmed (bendahari), Dato’ Jamaluddin Mohd Isa (S.usaha eksekutif) dan Khairullah (Pengerusi cawangan Perak). Manakala pihak KSU membariskan Y.Bhg. Dato’ KSU sendiri (Y.Bhg.Dato’ Zoal Azha Yusof sebagai pengerusi mesyuarat, Datin Junaidah Kamaruddin (S.U Bahagian Kanan) dan En. Abd Wahid Abu Salim (Bahagian Sumber Manusia). Pihak KPHMSM telah membentangkan semua asas-asas utama tujuan dan maksud permohonan melalui memorandum yang dikemukakan. Pihak Y.Bhg. Dato’ KSU bersetuju dan menyokong permohonan tersebut walau bagaimanapun Y. Bhg. Dato’ KSU memaklumkan bahawa terdapat beberapa perkara yang menyebabkan permohonan kita terpaksa ditangguhkan seperti pihak JPA sedang dalam proses membentuk satu kaedah baru berkaitan penyelarasan semua kakitangan perkhidmatan awam termasuklah di bawah Jabatan Perhutanan sendiri, pihak Kementerian Sumber Manusia juga sedang mengkaji pelaksanaan gaji minimum, kemelesetan ekonomi juga mempengaruhi keputusan yang bakal diambil serta permasalahan Jabatan Perhutanan yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan.
Hasil perbincangan yang serius tetapi begitu mesra dan terbuka telah menampakkan satu halatuju yang positif dalam perjumpaan tersebut di mana pihak KPHMSM telah memohon agar tuntutan kita ini diperhalusi dan diangkat sebagai kes berasingan kerana permasalahan yang ditimbulkan tidak sama dengan permohonan jabatan-jabatan lain. Kita telah mengemukakan beberapa perkara utama yang melayakkan tuntutan kita diberi keutamaan seperti:
Pengukuhan Integriti: Semua pihak seluruh negara sekarang sedang serius meningkatkan tahap integriti termasuklah Jabatan Perhutanan sendiri sepertimana resolusi yang dicapai melalui satu deklarasi yang memperakui bahawa tahap integriti masih ditahap rendah. Sehubungan dengan itu kita sepatutnya mengembleng tenaga bersama-sama mengkaji punca permasalahan dan mengambil tindakan mengatasinya. (Tidak perlu dinyatakan disini) tetapi semuanya berkait rapat dengan tuntutan dalam memorandum yang dikemukakan.
Isu alam sekitar: Dunia sekarang sedang memerhatikan dengan penuh ‘minat’ negara-negara yang mempunyai hutan hujan khatulistiwa malah wawasan kita juga untuk menjadi sebuah agensi yang terunggul dalam pengurusan hutan tropika di dunia. Bagi merealisasikan wawasan murni tersebut pembangunan sumber manusia tidak boleh mengenepikan sama sekali kewajaran kedudukan pegawai di lapangan sekarang yang jauh tertinggal di bawah dibandingkan dengan peranan, tanggungjawab, risiko, beban dan amanah besar yang dipikul bukan sahaja untuk jabatan, negara dan dunia malah bagi memastikan kesinambungan tamadun manusia itu sendiri.
Banyak lagi alasan-alasan utama yang dikemukakan tetapi secara keseluruhannya pihak Y.Bhg. Dato’ KSU amat bersetuju malah bersedia untuk terus memperhalusi isu ini seterusnya meneruskan langkah-langkah difikirkan wajar untuk dilaksanakan. Pihak KSU sendiri memperakui bahawa kita jauh tertinggal dan terlepas pandang mengenainya. Walau bagaimanapun ianya berbalik kepada perkara asas iaitu semua permohonan adalah mesti melalui Ketua Jabatan dan kuasa pindaan gred dan skim adalah kuasa mutlak JPA. Kita akur dan faham. Sepertimana lazimnya amalan kita, kita berdoa diikuti dengan usaha seterusnya tawakal dan redha dengan segala ketentuan.

Tuesday, January 18, 2011

S.U.K PERAK JANJIKAN SOKONGAN ISU MEMORANDUM

Pada 18 Jan 2011 di Pejabat S/Usaha Kerajaan Negeri Perak satu perjumpaan telah diatur untuk membincangkan isu memorandum KPHMSM. Terima kasih SUK kerana begitu memahami dan bersedia memberi sokongan berkaitan isu yang dibangkitkan. Pihak KPHMSM diwakili oleh President ahmad Shufir Zakaria, SU Hasmi Hamidan, Bendahari Shahabuddin dan wakil cawangan Perak pula pengerusi cawangan Khairullah dan Timb. Pengerusi Mazlan Abd Rahman.

Pertemuan telah berjalan dengan begitu lancar dan mesra. Segala asas-asas permohonan telah dibentangkan dengan mengemukakan alasan-alasan yang cukup kuat beserta sokongan dokumen-dokumen rasmi sehingga pihak SUK amat berpuashati dan berjanji untuk turut sama memberi sokongan dalam permohonan ini. Pihak SUK juga mengakui selama ini kakitangan jabatan hutan sememangnya tertinggal dan memohon maaf kerana terlepas pandang berkaitan perkara tersebut.

Pihak KPHMSM juga turut berterima kasih kepada SUK Perak kerana menjadi SUK pertama yang memberi maklumbalas dan mengatur perjumpaan. Sekali lagi terima kasih... - Bayu Rimba

Friday, January 14, 2011

RENUNGAN ALAM... AMBIL IKTIBAR

Tahniah ahli kphmsm kerana anda yang paling rapat dengan sumber alam. Renunglah alam dan ambil iktibar darinya. banyak pedoman, pengajaran dan iktibar boleh dicungkil seperti contoh-contoh di bawah. Ayat suci al Quran juga ada menyatakan "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau ciptakan ini dengan sia-sia..."
Sambil bertugas meredah hutan menyusur sungai.. renunglah aliran air sungai itu yang sentiasa mengalir ke depan tanpa mampu berpatah kembali. Demikianlah masa kita... yang sentiasa berlalu tanpa mampu kita tahan apatah lagi berpatah balik. Maka ambillah iktibar untuk tidak mensia-siakan masa yang ada kerana ianya takkan tunduk menunggu kita.

Renungkanlah juga lebah-lebah yang hinggap di pepohonan... di bunga yang cantik, di pucuk yang segar, di putik yang ranum lalu menyebarkan debunga ke pepohonan lain sambil membawa madu pulang ke rumah. Ambillah iktibar untuk singgah di tempat yang baik-baik lalu menyebarkan semua kebaikan itu ke tempat lain pula dan hasil serta kemanisannya kita bawa pulang untuk keluarga kita.
Renungkan juga beluncas yang menimbulkan geli pada sesetengah orang, sering ditindas dan lemah tapi akhirnya mampu berubah sepenuhnya jauh dari keadaan asal... menjadi rerama yang amat cantik dan mampu terbang ke sana sini. Ambillah iktibar bahawa hanya kita yang mampu merubah diri kita. Jangan terlalu lemah mengenang kekurangan diri sehingga menganggap mustahil untuk mencapai kejayaan hebat di luar jangkauan pemikiran.

Renungkan pula cicak yang merayap di dahan pokok. Menangkap dan makan serangga yang berterbangan... sedangkan dia sendiri tidak mampu terbang, hanya mengharapkan kaki dan lidahnya saja. di sinilah kehebatannya sang cicak... tidak memperdulikan kekurangan diri tetapi menggunakan segala kelebihan yang ada dengan sebaiknya. Iktibarnya, berilah tumpuan pada kekuatan, kelebihan atau kemahiran yang kita miliki dan jangan jadikan kelemahan dan kekurangan kita sebagai penghalang mencapai sesuatu yang kita hajati.

Dongaklah seketika ke atas pepohonan itu.. renunglah buah-buahan yang ada. Meranti yang tinggi ada kepaknya, durian yang lazat ada durinya, langsat yang lembut ada getahnya. Semua itu adalah perisai diri. Maka begitu juga kita... perlu ada jatidiri dan kekuatan dalam menghadapi apa jua ujian dalam menempuh hidup.

Renungkan pula ikan di laut. Betapa hebatnya ikan menghadapi ujian dengan dipenuhi dan dikelilingi oleh air yang sangat masin namun dagingnya tetap manis, tawar tanpa rasa masin. Demikianlah iktibarnya untuk kita mengekalkan identiti diri, jatidiri, iman dan taqwa walau dimana sekalipun kita berada. Jangan disalahkan persekitaran, jangan mencari alasan dan jangan hanya menuding jari manyalahkan orang lain.

Akhir sekali pejamkanlah mata seketika sambil bayangkan itulah pemandangan terakhir dari mata kita. Maka bersyukurlah dengan segala nikmat yang ada, redha dengan segala ketentuan yang diberi, terus berusaha dan tawakal.
-Bayu rimba-


Thursday, January 13, 2011

PERSEDIAAN PERJUMPAAN DENGAN Y.BHG. DATO' KETUA SETIAUSAHA NRE

Pada 24 Januari 2011 nanti pihak KSU telah menjemput wakil KPHMSM untuk perbincangan berkaitan memorandum permohonan pindaan skim. Saya juga berterima kasih kepada pihak Pusat kerana menjemput Bayu Rimba untuk turut serta dalam majlis bersejarah itu. Alhamdulillah suara kita sudah mulai dipeduli... rintihan kita penjaga khazanah alam kini didengari. Hidup ini takkan ada tanpa air dan udara... kitalah hulubalang dan khalifah yang menjaganya. Berbanggalah dengan peranan dan tugasan yang kita mainkan. Semoga pertemuan ini menjadi titik mula bagi semua pihak untuk merenung kembali kewajaran kedudukan kita sebagai pemegang amanah memelihara bumi ini.

Beberapa siri perbincangan memerah otak dan pecahan minda telah diatur oleh KPHMSM Pusat sebelum memasuki gelanggang. Masih banyak yang perlu dibaiki dan masih ada ruang untuk mengatur langkah dan gerak tari. Biarpun langkah ini semakin bergetar... biarpun langkah ini menjadi rangkak... namun niat suci dan keikhlasan pasti ada balasannya. Hukum Karma!.... Bayu Rimba

KPHMSM ucapkan TAHNIAH kpd RENJER BARU


Pada perhimpunan bulanan yang baru lalu Dato' PPN telah mengadakan majlis pemakaian kandat bagi 3 orang Pengawas Hutan yang telah dilantik ke jawatan Renjer Hutan. Manakala 1 lagi kekosongan diisi oleh seorang bekas pelajar FORTRAIN (Pengambilan Terus). Pihak KPHMSM caw Perak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua yang telah berjaya. Harapan dan cabaran besar menanti diharap dapat diharungi dengan sebaiknya. Kami di kesatuan akan sentiasa bersama membantu mengharungi liku-liku tugasan di jabatan hutan.
Perlantikan kali ini mencipta rekod pertama di negara kita dengan lantikan seorang wanita menyandang jawatan Renjer Hutan. Sekali lagi ucapan tahniah untuk ahli wanita kita.

KPHMSM BERI SUMBANGAN IHSAN KEMATIAN


Pada 10 Jan 2011, sempena Perhimpunan Pagi yang dianjurkan oleh PPN maka pihak KPHMSM caw Perak mengambil peluang untuk meminta Dato' PPN menyampaikan sumbangan ihsan kematian hasil dari sumbangan KPHMSM pusat dan pelancaran tabung derma baru baru ini. Allahyarham Shahairi bin Hashim adalah merupakan seorang mandor di Tapak Semaian Ulu Piol, Manong. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Dato' PPN dengan diiringi oleh Pengerusi caw Perak kepada puan Uda Saadiah bt Jaafar (isteri kepada arwah).