SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Monday, December 20, 2010

TAHNIAH... Lantikan Biro Kepada Ahli Caw PERAK

Pihak KPHMSM cawangan PERAK ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada ahli-ahli cawangan Perak yang telah dilantik menganggotai biro-biro melalui keputusan Mesyuarat Jemaah Jawatankuasa Agong.
Mereka yang terlibat ialah Pen. Setiausaha Agong, Sdr. Khairulrizal bin Abu Kassim dilantik menjadi setiausaha Biro Pelajaran. Ahli Jawatankuasa Agong caw Perak, Sdr Hashim bin Zakaria dilantik sebagai AJK Biro Kebajikan dan Pengerusi caw Perak, Sdr. Khairullah Abd Latiff dilantik sebagai setiausaha Biro Tindakan Khas.

Lantikan yang telah dibuat mencerminkan kepercayaan pihak jawatankuasa agong kepada kebolehan dan kepimpinan ahli-ahli dari cawangan Perak. Dengan lantikan ini juga bermakna tugas dan tanggungjawab kita semakin besar dan berat tapi amat diharapkan wakil cawangan Perak dapat memainkan peranan yang jitu demi memastikan segala kebajikan ahli terbela.

Friday, December 17, 2010

MEMORANDUM kpd JPA


Pihak KPHMSM telahpun menghantar satu memorandum permohonan pindaan skim perkhidmatan awam bagi jawatan-jawatan berpakaian seragam di dalam Jabatan Perhutanan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam. Memorandum ini juga telah disalinkan kepada semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri.
Pihak KPHMSM cawangan Perak ingin merakamkan berbanyak terima kasih dan menyampaikan seluruh penghormatan dan penghargaan kepada Presiden dan S.U serta semua yang terlibat dalam menyediakan memorandum tersebut. Kami sedar dan tahu bahawa segala keputusan mungkin tidak menyebelahi kita tetapi sekurang-kurangnya kita telah berjaya membawa perkara yang diperjuangkan ini. Sepatutnya pihak jabatan sendiri yang mengutarakan permohonan ini kerana agak kurang manis bagi kita sebagai kakitangan kumpulan sokongan terus memanjat, menyapa dan merayu sehingga ke peringkat tertinggi perkhidmatan awam. Namun kami amat yakin bahawa segala usaha telah puas dibuat sebelum ini mengikut saluran yang beretika, tertib dan betul sehinggalah kita terpaksa mengambil keputusan ini untuk terus membawa perkara ini ke peringkat sekarang.
Tahniah dan syabas.

TERIMA KASIH & SELAMAT BERSARA

Senarai nama ahli KPHMSM caw. Perak yang bersara pada tahun 2010:
En. Yob bin Din 1.1.2010
RH. Khalid bin Dahlan 1.1.2010
En. Ismail bin Abdullah 31.3.2010
En. Mohd Yunus bin Ratu 15.4.2010
En. Mohd Nizam bin Mohd Daham 29.7.2010
En. Ahmad bin Dahari 4.7.2010
En. Hashim bin Hamzah 16.10.2010
RH. Ramli bin Abd Rahim 20.11.2010
En. Syed Hamdan bin Syed Alang 14.12.2010
En. Abd Halim bin Mat Beni 25.12.2010

Pihak KPHMSM cawangan Perak ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT BERSARA kepada 10 orang ahli kesatuan yang selama ini telah banyak menabur jasa kepada Jabatan Hutan Negeri Perak khasnya dan kepada Kesatuan kita sendiri amnya.
Pihak KPHMSM caw Perak bercadang untuk mengadakan satu majlis bagi meraikan ahli-ahli kita ini sebagai satu tanda penghargaan kepada mereka yang selama ini sentiasa berdiri teguh dibalakang kita dalam apa juga aktiviti. Siapa lagi yang akan menghargai dan mengenang jasa kita sekelian kalau bukan kita sendiri di dalam satu kesatuan.
Akhir kata sekali lagi saya mewakili seluruh ahli KPHMSM cwangan Perak mengucapkan terima kasih atas segala bentuk kerjasama dan tahniah atas segala kejayaan yang dicapai kepada semua ahli yang bersara pada tahun 2010 ini. Kami juga mendoakan kesejahteraan hidup disamping kesihatan yang baik untuk menempuhi kehidupan di alam persaraan. Jasamu tetap dikenang.

Friday, December 10, 2010

Kebajikan Ahli

Seorang ahli KPHMSM Perak kini sedang menderita jangkitan barah usus. Beliau yang dimaksudkan ialah En. Badaruddin bin Yeop Isa yang bertugas sebagai P.A.K di Pejabat Renj Hutan Kuala Kangsar.
Pada awal bulan Disember yang lalu beliau telah menjalani pembedahan membuang sebahagian usus yang telah dicemari barah menyebabkan beliau kini terpaksa membuang air besar melalui tiub terus ke beg kumbahan dan saya difahamkan ianya akan berterusan begitu sehingga ke akhir hayat. Beliau telah mula mendapatkan rawatan dari hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sejak bulan Jun 2010 dan telah berulangkali berulang-alik untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan di Jabatan Radioterapi Dan Onkologi Hospital Kuala Lumpur.

Di atas sebab-sebab tersebut saya amat berharap agar kita dapat bersama-sama membantu dan meringankan sedikit beban yang ditanggung beliau kerana bukan sahaja beliau terpaksa berulang alik mendapatkan rawatan malah kini terpaksa pula menanggung kos untuk membeli beg kumbahan yang perlu diganti saban hari.

Saya akan bawa permohonan ini di dalam mesyuarat jawatankuasa KPHMSM Perak yang akan datang dan semua AJK Perhubungan (Renjer-Renjer Hutan) di harap dapat melancarkan tabung kutipan derma untuk tujuan tersebut. Permohonan ini juga akan saya panjangkan kepada KPHMSM Pusat di KL dan kepada Persatuan Kebajikan Dan Sukan Jabatan Hutan Perak (PERKSPER) agar kita sama-sama membantu ahli kita yang amat memerlukan.

Monday, November 29, 2010

PERHIMPUNAN BULANAN NOV2010


Penyampaian surat lantikan dan penempatan baru kepada 31 orang Pengawas Hutan baru telah disampaikan oleh Dato' PPN pada perhimpunan bulanan bil 11/2010. Tahniah juga kepada Dato' PPN atas taklimat Pengurusan Hutan yang disampaikan kepada semua kakitangan termasuk yang bukan berpakaian seragam dan lebih memberi kesan kerana ianya disampaikan secara ringan dan mudah difahami. Kphmsm cawangan Perak amat bersetuju bahawa tidak semua kakitangan jab Hutan tahu atau memahami erti sebenar pengurusan hutan yang kita amalkan. Ianya amat penting disampaikan kepada semua kakitangan kerana sekarang bukannya masa untuk kita terus memencilkan diri sebaliknya perlu menonjol dan bangga menjadi agensi yang terkehadapan dalam pengurusan hutan tropika. Tahniah Dato', amat jarang sekali seorang Pengarah turut mengambil inisiatif untuk menekankan peri pentingnya ilmu pengurusan ini sebagai satu langkah publisiti kepada umum.

Tahniah kepada semua calon yang berjaya dan pihak Kphmsm cawangan Perak akan memohon kepada Dato' PPN untuk menganjurkan bersama satu minggu orientasi bagi mendedahkan kepada mereka segala ilmu asas yang perlu diikuti. Ianya penting kerana Pengawas Hutan adalah tenaga penting dalam jabatan. Diharap 31 orang Pengawas Hutan baru ini juga akan menjadi ahli Kphmsm kerana kita telah berjaya menjadi kesatuan cawangan yang berjaya menambah ahli teramai selama 3 tahun barturut-turut.

Semoga kehadiran tenaga baru ini akan dapat menambah kekuatan dalam kesatuan khasnya dan jabatan hutan amnya.

Monday, October 25, 2010

TAHNIAH DATO' JAMALUDDIN


TAHNIAH DATO’
Kphmsm cawangan Perak ingin merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada setiausaha kerja KPHMSM, cikgu Jamaluddin bin Mat Isa yang telah dianugerahkan dengan pingat Darjah Mulia Seri Melaka pada 09 Oktober 2010 oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil bin Yaakob di Dewan Seri Melaka.
Sepanjang pengetahuan saya, Dato’ merupakan kakitangan pakaian seragam Jabatan Hutan yang kedua dianugerahkan pingat yang membawa gelaran Dato’ selepas Renjer Hutan bersara dari Terengganu.
Seluruh warga perhutanan terutamanya kakitangan pakaian seragam amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Dato’ dan amat berterimakasih kepada semua pihak yang telah mula peka dan nampak perjuangan yang dibawa oleh KPHMSM.

Tuesday, August 3, 2010

SEJARAH & PEMIMPIN KPHMSM DULU HINGGA KINI


JASAMU DIKENANG. Sebagai mengenang segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada kita disamping sebagai tanda penghargaan kepada perjuangan kepimpinan terdahulu, pihak Kphmsm cawangan Perak mengambil kesempatan ini untuk mengimbau kembali para pemimpin terdahulu hingga kini.
Kesatuan kita bermula dengan tertubuhnya Persatuan Pegawai Hutan Melayu Jawatan Rendah semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1940- 1960. Antara pengasas persatuan ketika itu ialah seperti Allahyarham Mahmud bin Ali BEM, Alyhm. Hj. Hamzah bin Dahaman, Alyhm. Hj. Shaari bin Rashid, Alyhm. Hamid bin Rantau, Alyhm. Hj Arop bin Achik, Alyhm. Hj. Itam bin Atong, Alyhm. Hj. Muhamad bin Tain dan lain-lain.

Kemudian Persatuan ini telah ditukarkan namanya kepada Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan Sa-Malaya pada tahun 1960-1969. Bermula dari tarikh inilah kita mengambilkira penubuhan kesatuan kita sehingga mencapai sambutan Jubli Emas baru-baru ini.Cikgu Jamaluddin Mat Isa (berdiri kiri) bersama YDP pertama (berdiri kanan) dan abangnya YDP kedua (Duduk Kanan)

Kemudian seiring dengan perubahan nama negara maka kesatuan kita juga telah bertukar nama menjadi Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Malaysia Barat bermula tahun 1970-2004.
Kini kesatuan kita berdaftar dengan nama Kesatuan Pegawai hutan Melayu Semenanjung Malaysia.
Berikut adalah wajah-wajah pemimpin kesatuan bermula dari tertubuhnya Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Sa-Malaya:

Alyhm. Hj. Ramli bin Mat Selan (Perak) 1960-1963

Alyhm. Hj. Shamsuddin bin Mat Isa (Perak) 1963-1979

Alyhm. Hj. Ismail bin Midarshah (Johor) 1979-1990

Alyhm. Ibrahim bin Junus (Kdh/Pls/PP) 1990-2000

Hj. Taharin bin Yeop Mat Taha (Selangor/Wp) 2000- 2008

En. Aziz bin Muda (Terengganu) 2008-2009

En. Zailan bin Kassim (Johor) 2010

En. Ahmad Shuffir bin Hj. Zakaria 2010- kini

Kami di cawangan Perak amat berbangga dan berterimakasih di atas segala jasa dan pengorbanan semua. Ini adalah salah satu sumbangan kecil cawangan Perak bagi memastikan sejarah kesatuan dipelihara disamping sebagai pegangan kesinambungan perjuangan.
-bayu rimba-












Sunday, August 1, 2010

UCAPAN PENANGGUHAN PENGERUSI CAW PERAK

Assalammualaikum wmt.. t/ksh pengacara majlis..…
Yang dihormati…. Presiden KPHMSM yang baru.. saudara Mohd Shufir bin Zakaria
Timbalan Presiden Tuan Syed Kassim Syed Mustaffa... Naib Presiden... S.U. Agong.. S.U Kehormat… barisan AJK Agong
Serta semua perwira… barisan kepimpinan dari semua cawangan, para perwakilan dan pemerhati sekelian.

Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada Pengerusi Kphmsm Caw Negeri Sembilan dan barisan tenagakerja dari Negeri Sembilan kerana berjaya menganjurkan majlis Persidangan Perwakilan kali ini dengan begitu baik dan selesa. Tuan-tuan dan puan-puanlah pencetus dan penggerak kepada kekuatan kita untuk terus berjuang demi untuk mengecapi kemanisan sebuah perjuangan bersama-sama.

Dalam taman ada bunga
Dalam bersilat ada tarinya
Dalam bicara ada maknanya
Dalam tekad biar gempita

Yang duduk di bawah bukannya hamba
Yang berdiri di atas bukanlah raja
Yang duduk di bawah mula membara
Yang berdiri diatas jangan terlena

Kelantan Kedah Sama Hebat
Perak Diam Mencari Jalan
Persidangan Panas Makin Hangat
Biasalah adat sidang perwakilan

Orang atas tinggi… kita gembira
Menghulur tangan… nak naik sama
Bukan dengki… bukan haloba
Janganlah budi dibalas tuba

Naik pajero jangan berlanggar
Biar cermat biar perlahan
Jangan cakap berdegar degar
Tapi kerja langsung tak jalan

Sufir belanja ikan panggang
Sedap sungguh ikan kelah
Tuan baru masuk gelanggang
Jangan rebah menyerah kalah

Terima kasih saudara Zailan
Semangat jgn hilang serinya
Presiden baru kami sandarkan
Diharap berubah pencak silatnya

Bicara kata hanya seloka
Bukan untuk mendapat pingat
Kalau ada yang mula terasa
Nabil kata… sendiri mau ingat

Sabda nabi saw.. riwayat al tarmizi..
“Wajiblah kamu bersama sama dengan jemaah dan berhati hatilah dengan perpecahan..”

Kepada semua pemimpin yang terpilih.. ingin saya berpesan ‘Perjuangan Belum Selesai’…. Dan kepada yang gagal kali ini bukan bermakna anda rebah dan tewas.. sebaliknya andalah pejuang yang akan berdiri kukuh di belakang kepimpinan.

Saya juga ingin berpesan bahawa dalam berkesatuan bukan bermakna kita perlu berkonfrantasi dengan pihak pengurusan, jauh sekali meninggalkan adab dan adat. Sebaliknya kita perlu sama-sama bertolak ansur, saling faham memahami dan mengekalkan ‘level of respect’. Ianya penting... jangan dengan hanya memegang jawatan dalam kesatuan kita sanggup menggadai adab bicara dan adab musyawarah.

Seperti yang kita semua sedia maklum kita telahpun menyambut sambutan jubli emas pada tahun ini. Oleh itu sepatutnya kita sudah semakin matang dalam bermesyuarah dan lebih kental membahaskan isu yang lebih besar. Tapi saya dapati kita hanya berdegar degar bersuara mengikut rasa bermain kata dengan isu-isu yang baru timbul dikepala, seolah olah tiada perancangan muafakat maka meleret leretlah persidangan, hanyut mengikut rentak tanpa nada. Jangan taksub dalam berbicara… jangan menyerang peribadi sesama saudara… kerana tujuan kita sama… mencari satu suara, satu nada biar gempita.

Kepada barisan kepimpinan baru, saya dan barisan kepimpinan dari cawangan Perak amat mengharapkan agar kepimpinan agong kali ini dapat memberi sepenuh perhatian kepada isu penstrukturan semula JPSM dan masalah prosuder di BPH. Ianya amat penting bagi kami ahli di akar umbi. Saya akan malu berdiri disini jika kita gagal dalam kedua dua isu ini. Pesanan saya kepada barisan perwakilan Perak… ini adalah penggal terakhir saya jika isu ini tidak dapat diperjuangkan. Saya malu jika gagal menaikan G11 kita dan saya rasa bersalah jika kerana prosuder yang kita cipta sendiri menjerat pegawai balai kita ke pengadilan.

Sebenarnya saya ingin berbicara lebih panjang sebab isu ini perlu dikupas lebih mendalam tetapi saya rasa ini bukanlah pentasnya, ini bukanlah gelanggangnya.

Akhir kata saya ingin menutup ucapan saya ini dengan pesanan dan harapan kepada calon-calon yang berjaya.
Siapa juga yang memegang tampok kepimpinan… jalankanlah kewajipan yang diamanahkan dengan penuh etika… penuh rasa tanggungjawab bukan saja kepada ahli tetapi juga kepada jabatan.
Pulihkan imej kakitangan pakaian seragam… pulihkan imej jabatan. Pihak kesatuan sepatutnya memainkan peranan dalam menjayakan impian semua ahli akar umbi dengan menjadikan isu-isu utama ini sebagai 1 perjuangan yang harus dipikul bersama. Kami berdiri teguh dibelakang kepimpinan baru ini untuk sama-sama memikul amanah besar ini.

Sekian terima kasih, salam perjuangan dari desiran ‘Bayu Rimba’.

Friday, July 30, 2010

KEPIMPINAN BARU 2010-2012 KPHMSM




Mesyuarat Agong Dwi Tahunan KPHMSM baru sahaja selesai dijalankan di Bayu Beach Resort Port Dickson dengan jayanya. Terdapat beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan agong menyebabkan berlaku juga beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan cawangan Perak.

Presiden – Mohd Shuffir bin Zakaria (Kedah/Perlis/P.Pinang) 1,491 undi
Timb. Presiden – Syed Kassim bin Syed Mustafa (Pahang) 1,245 undi
Naib Presiden – Elias bin Awang Kassim (Pahang) 1,428 undi
Setiausaha – Hasmi bin Hamidan (Selangor) menang tanpa bertanding.
Pen. S.U – Khairulrizal bin Abu Kassim (Perak) 1,226 undi
Bendahari – Shahabuddin bin Ahmed (Selangor) menang tanpa bertanding

Pemilihan saudara Khairulrizal bin Abu Kassim ke jawatan Pen. Setiausaha menyebabkan kekosongan kepada jawatan ahli jawatankuasa Agong cawangan Perak. Oleh yang demikian saudara Hashim bin Zakaria akan mengambilalih jawatan tersebut kerana beliau adalah merupakan calon yang mendapat undi kedua terbanyak semasa pemilihan cawangan Perak yang lalu.

Tahniah kepada yang berjaya. Gelanggang telah tersedia, nafiri dan gong telah bergema maka aturlah tari pencak silat sebaiknya. Harapan tergalas tinggi melangit, jika rebah parahnya dalam. Kami di cawangan Perak sentiasa berdiri teguh dibelakang kepimpinan dalam memperjuangkan apa jua yang telah diputuskan bersama. Jagalah adat dan adab dalam bermesyuarah, usaha dan doa dari kami menjadi bekalan. InsyaAllah kita akan berjaya.

Kepada yang gagal kali ini, bukan bermakna kalian rebah dan gugur sia-sia… tetapi kalianlah pejuang yang berani bangun menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab serta mempersembahkan rentak yang hebat sebagai calon pemimpin.


‘Bayu Rimba’

Wednesday, July 21, 2010

PENGISIAN JAWATAN- Suara Kita Tidak Sia-Sia

“Profesion kita sudah semakin hilang profesionalnya…” itulah yang sering kita canangkan kepada pihak atasan kerana kekurangan tenagakerja menyebabkan kita semakin dibebankan dengan tugasan yang berbagai-bagai termasuk yang diluar bidangkuasa kita. Sehingga kita tidak mampu lagi menumpukan perhatian kepada tugas sebenar kita. Kekurangan tenagakerja juga menyebabkan kualiti kerja kita semakin menurun disebabkan tekanan masa dan tenaga serta stress melampau yang ditanggung.
Hampir setiap kali ada peluang kita berbincang dengan pihak atasan kita akan mengemukakan masalah ini. Disetiap forum, setiap perjumpaan dan dimana juga ada peluang kita akan membangkitkan masalah ini kerana isu alam sekitar terutamanya hutan bukan lagi isu terpencil tetapi sudah menjadi isu sejagat. Sehubungan dengan itu apa juga kesempatan yang ada kita jadikan platform untuk semua pihak menilai kembali betapa hutan kita perlu dijaga dengan apa kos sekalipun. Akhirnya suara kita tidak sia-sia. Di Jabatan Perhutanan Perak kini dibuka tawaran sehingga 61 jawatan Pengawas Hutan dan 4 kekosongan untuk Renjer Hutan. Jutaan terima kasih kita ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha murni ini terutamanya kepada Dato’ PPN hari ini yang telah menyediakan kertas kerja sewajarnya untuk diluluskan oleh pihak SPA
Cabaran kepada kita sebagai warga pegawai pelaksana ialah membuktikan kepada pihak atasan bahawa kuantiti yang bertambah ini akan menjamin kualiti kerja nanti. Kita amat mengharapkan agar pihak jabatan mengutamakan pembangunan sumber manusia bagi memastikan tenagakerja yang diambil nanti sentiasa mempunyai kualiti sebenar untuk menjalankan tugasan yang semakin mencabar ini. Semoga usaha murni pihak jabatan tidak terhenti setakat pengisian kekosongan jawatan malah diterjemahkan terus dengan sokongan pembangunan sumber manusia. Sekian, sekali lagi tahniah dan terima kasih kepada semua.
‘Bayu Rimba’

Tuesday, June 22, 2010

PERSIDANGAN PERWAKILAN TRITAHUNAN CUEPACS NG PERAK

Pihak CUEPACS telah mengemukakan surat jemputan kepada KPHMSM cawangan Perak untuk menghantar perwakilan ke Persidangan Tritahunan Cuepacs Sesi 2010-2013 yang akan diadakan pada 28-29 Jun 2010 di Hotel Sri Malaysia, Ipoh. Saya amat menghargai jemputan tersebut dan amat berharap dapat menghadirkan diri sebagai perwakilan walau bagaimanapun pada tarikh yang sama saya juga perlu menghadirkan diri ke Kursus Siasatan Dan Pendakwaan Jabatan Hutan yang akan disampaikan oleh PDRM. Sehubungan dengan itu sebagai sebuah kesatuan yang bergabung dengan CUEPACS, KPHMSM caw Perak akan cuba menghantar sekurang-kurangnya 2 orang perwakilan yang akan diputuskan oleh AJK nanti.

Saturday, June 12, 2010

PERLETAKAN JAWATAN SETIAUSAHA

Pada mesyuarat AJK Kphmsm cawangan Perak yang lepas, saya menerima satu berita yang mengejutkan iaitu perletakan jawatan S/usaha iaitu saudara Hamzah bin Mat Isa. Beliau merupakan salah seorang sahabat saya yang sama-sama menempuh suka duka dalam kesatuan. Di saat kesatuan kita telah mula mendapat kepercayaan ahli dengan penambahan bilangan ahli yang begitu banyak dan keyakinan serta penampilan kita juga telah semakin tinggi beliau terpaksa mengundurkan diri dari jawatan setiausaha. Secara peribadinya saya terasa satu kehilangan kerana kami sering bertukar pandangan dan pendapat dalam apa juga yang diperjuangkan.
Walau bagaimanapun sebagai seorang pejuang saya menganggap ini semua asam garam dalam pentas berkesatuan. Saya menerima alasan perletakan jawatan beliau kerana semua ahli tahu bahawa beliau mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan pergerakannya agak terbatas. Kesulitan itulah yang membawa kepada perletakan jawatan kerana beliau tahu kesatuan memerlukan seorang yang lebih cergas dan aktif untuk memegang jawatan sepenting itu.
Oleh yang demikian, mengikut perlembagaan kesatuan sekiranya terdapat ahli yang menolak, melepaskan atau meletak jawatan maka calon yang mendapat undi kedua tertinggi semasa Mesyuarat Agong lalu akan mengisi jawatan tersebut. Sehubungan dengan itu saudara Hairuddin bin Hj Hadi (RH Pengkalan Hulu) telah dimaklumkan seterusnya akan ditawarkan untuk jawatan setiausaha Kphmsm cawangan Perak bagi penggal 2010-2012.
Saudara Hairuddin bin Hj Hadi juga merupakan seorang sahabat saya yang begitu aktif dan lantang. Sememangnya saya selalu mengharapkan beliau berada di dalam kabinet saya untuk sama-sama membawa kesatuan kita ke satu tahap baru. Tahniah saudara Hairuddin dan marilah kita bersama-sama membawa amanah ahli untuk diperjuangkan mengikut rentak dan tari kita sendiri melalui pentas cawangan Perak. Selamat berkhidmat.

Monday, June 7, 2010

Perhimpunan Bulanan Jun

Antara ucapan Dato' Pengarah kali ini ialah mesyuarat Budget Preview akan diadakan tidak lama lagi. Sehubungan dengan itu beliau berharap agar sekiranya mempunyai apa-apa permohonan bolehlah mengemukakan dengan kadar segera kepada perhatian beliau.
Permohonan kphmsm yang masih belum terlaksana ialah seperti :
1. Bekalan Kamera Kepada setiap Renj dan Unit.
Ianya sepatutnya perlu dibekalkan oleh pihak jabatan tanpa perlu kita memohon kerana jabatan sendiri yang mewajibkan setiap laporan mesti bergambar seperti Laporan Penutup, Laporan Penguatkuasaan, Laporan Pengusahasilan dan sebagainya. Oleh itu bekalan kamera sewajarnya menjadi keutamaan dalam permohonan ke bendahari Negeri.

2. Tambahan Bekalan GPS kepada setiap Renj
Pihak jabatan telah mula melaksanakan penandaan bacaan GPS bagi setiap stesyen sempadan. Ianya adalah satu langkah yang baik walau bagaimanapun bekalan peralatan perlulah mencukupi untuk melaksanakannya di lapangan. Buat masa ini hanya terdapat 1 unit GPS di setiap Renj untuk diguna oleh sekurang-kurangnya 3 pasukan kerja.

3. Mohon diutamakan bekalan pakaian seragam mengikut Pekeliling Ketua Pengarah.
Kita bukan mohon tambahan atau mohon yang bukan-bukan tapi mohon bekalan mengikut apa yang telah dipersetujui malah telah dikeluarkan pekeliling dan disahkan oleh JPA.

4. Mohon dibuka pengisian jawatan Pengawas Hutan dan Renjer Hutan
Pihak jabatan perlu terima hakikat bahawa kekurangan kakitangan telah sampai ke tahap kritikal bagi mengimbangi kehendak masyarakat, isu semasa, kehendak jabatan sendiri dan kehendak alam sekitar.

5. Mohon bekalan ubat ubatan kepada setiap Renj
Kita memantau dan menasihatkan kakitangan kita malah pelesen agar mematuhi kehendak keselamatan dan kesihatan pekerjaan tetapi kita sendiri tidak mendapat bekalan perubatan untuk dibawa semasa kerja di lapangan. Perkara sebegini sepatutnya perlu disediakan oleh pihak jabatan tanpa perlu mana-mana pihak memohon kerana ianya adalah kewajipan majikan.
Ini hanyalah beberapa permohonan yang belum tercapai yang sempat saya tuliskan disini. Masih banyak lagi permohonan yang memerlukan peruntukan untuk dikemukakan. Perlu difahami bahawa semua permohonan ini bukanlah kehendak kphmsm semata-mata tetapi ianya lebih kepada kewajipan majikan untuk melaksanakannya kerana ianya adalah keperluan asas kakitangan pelaksana.

Friday, June 4, 2010

Mesy AJK Kphmsmperak Bil 2/2010

Mesyuarat kesatuan bil 2/2010 telah diadakan di ULP Sg. Siput. Antara agenda mesyuarat kali ini adalah seperti berikut :
1. Post Moterm Penilaian MC&I
2. Persediaan Bengkel Renjer Hutan
3. Persediaan Audit Kesatuan sekerja
4. Usul dan Cadangan

Mesyuarat kali ini juga dikejutkan dengan pengumuman perletakan jawatan Setiausaha En. Hamzah Bin Mat Isa. Walau bagaimanapun semua ahli mesyuarat menerima perletakan jawatan tersebut dengan hati terbuka memandangkan alasan yang diberi adalah amat munasabah iaitu berkaitan kesihatan selepas mengalami kemalangan baru baru ini.

Sehubungan dengan itu calon yang mendapat undi kedua tertinggi semasa Mesy Agong yang lalu secara automatik akan dilantik sebagai Setiausaha kphmsmperak yang baru. Beliau ialah saudara Hairuddin bin Hj Hadi (Renjer Hutan Pengkalan Hulu).

Bengkel Renjer hutan pula memutuskan untuk membentang 4 kertas kerja untuk persembahan semasa seminar Renjer hutan Perak.
Daerah Hulu Perak - Balai Pemeriksa Hutan
Daerah Larut Matang - Pembalakan Haram
Daerah Kuala Kangsar - Prosedur vs Budaya
Daerah Kinta Manjung - Plan GIS

Post Moterm MC&I menerimapakai artikel "Kejayaan MC&I-Dimana Silapnya" sebagai satu rumusan atau pandangan dari kesatuan untuk diedarkan kepada ahli, DFO dan PPN.

mesyuarat juga menerima alasan pengerusi untuk tidak bertanding jawatan Timbalan YDP kerana kita hanya dicalonkan oleh cawangan Kelantan. Manakala saudara Khairulrizal akan dilobi sebaiknya untuk bertanding jawatan penolong setiausaha.

Tuesday, June 1, 2010

Tawaran Untuk Jawatan Timbalan Yang Dipertua kphmsm


Mesyuarat Agong Dwi Tahunan KPHMSM akan diadakan di Ng Sembilan mungkin pada bulan Julai nanti. Saudara Khairul Rizal (Ajk Agong Negeri Perak)telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Pen. Setiausaha oleh cawangan Kedah dan Johor manakala saya sendiri dicalonkan untuk bertanding jawatan Timb. Yang Dipertua kphmsm oleh perwakilan dari cawangan Kelantan. Terimakasih kepada cawangan Kedah, Johor dan Kelantan di atas kepercayaan dan sokongan. Walau bagaimanapun saya rasa saya mungkin saya terpaksa menolak pencalonan tersebut dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada saudara Khairul Rizal. Saya rasa biarlah saya berjuang di peringkat negeri terlebih dahulu dan saya rasa amat selesa berjuang dengan cara saya ini. Saya sentiasa menyokong penuh segala keputusan kesatuan pusat cuma pendekatan perjuangan kita sedikit berbeza. Mungkin suatu hari nanti saya bersedia untuk sama-sama mengatur langkah dari kesatuan Pusat. Insyaallah.

Saturday, May 15, 2010

Kerjasama KPHMSM dalam Sukan Antara Daerah

15 Mei 2010 pihak KPHMSM cawangan Perak bekerjasama dengan pihak PPN, Ipoh menjayakan sukan Badminton antara daerah. Oleh kerana rata-rata pemain adalah terdiri kakitangan pakaian seragam maka pihak KPHMSM mengambil peluang ini untuk turut serta menjayakannya bagi menyampaikan mesej dan mengeratkan hubungan sesama ahli disamping untuk mengurangkan stress para ahli melalui sukan menjelang audit MC&I.


Sebanyak 24 pasukan mendaftarkan diri dari semua daerah yang akhirnya dimenangi oleh bergu dari PPN yang menewaskan bergu Larut Matang, Taiping di final. Tempat ke3 dan ke 4 juga dimonopoli oleh pasukan dari Larut Matang. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) En. Mohd Zain Bin Yusuff.
KPHMSM cawangan Perak menyumbangkan cenderahati berupa hamper dan diberikan secara cabutan nombor bertuah. Hamper-hamper tersebut disampaikan oleh Bendahari KPHMSM iaitu saudara Mohd Merzuki Mat Salleh dan pengerusi sendiri. Timbalan Pengarah sendiri turut mendapat hamper dari cabutan pengerusi.


Berikut adalah aksi-aksi panas dan hebat para peserta.

Barisan kepimpinan KPHMSM cawangan Perak yang turut serta dalam pertandingan ini ialah pengerusi, bendahari dan penolong setiausaha.