SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Thursday, April 29, 2010

USUL DALAM MBJ BIL 2/2010

Hari ini mesyuarat Majlis Bersama Jabatan yang dipengerusikan sendiri oleh Dato' PPN so macam biasa KPHMSM sentiasa ada mengemukakan usul-usul untuk kebaikan dan kebajikan ahli. Kali ini pengerusi KPHMSM membawa usul berikut:

1. Memohon bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan di pejabat Renj dan semasa bermalam di hutan. Bekalan ubat-ubatan tersebut hendaklah berterusan kerana ianya ada tempoh expired digunakan, selain mungkin habis digunakan dalam tempoh tertentu. Bekalan ubatan tersebut juga diharap boleh ditambah hanya melalui peruntukan di daerah sepertimana peenambahan bekalan alat tulis, bekalan pejabat dan sebagainya.
2. Memohon bekalan kamera disegerakan kepada semua renj hutan kerana pihak jabatan telah mewajibkan laporan bergambar dalam apa juga laporan. Maka permohonan bekalan kamera ini sepatutnya disegerakan.
3. Memohon agar bekalan alat GPS dapat ditambah untuk kegunaan bagi setiap pasukan kerja. Buat masa ini setiap renj mempunyai hanya 1 unit GPS walau bagaimanapun masih ada renj hutan yang belum mendapat bekalan GPS tersebut. Saranan kerajaan agar kita menggunakan peralatan lebih canggih wajar disambut dengan pembekalan GPS bagi setiap pasukan kerja.
4. Memohon ditambah lagi kursus-kursus teras bagi kakitangan pakaian seragam terutamanya yang melibatkan ilmu dendrologi, mensurasi hutan, ukuran tanah dan penguatkuasaan. Pihak kesatuan juga sudi bekerjasama dalam menjayakan kursus ini kerana ramai kakitangan telah diiktiraf sebagai jurulatih oleh JPSM.
5. Mengisi segera kekosongan jawatan kakitangan pakaian seragam:
Pengawas Hutan masih terdapat lebih 60 kekosongan dan tidak diisi sejak 3 tahun lepas.

Renjer Hutan terdapat 5 kekosongan yang tidak diisi sejak 2 tahun yang lalu.

Renjer Hutan Kanan terdapat 2 kekosongan dan tidak diisi sejak 3 tahun yang lalu.

Wednesday, April 28, 2010

BARISAN KEPIMPINAN KPHMSM caw PERAK 2010-2012

Berikut adalah senarai nama pemegang jawatan utama yang telah dipilih melalui undian ahli di dalam KPHMSM caw Perak bagi sessi 2010-2012.

Pengerusi : Khairullah Abd Latiff

Timbalan Pengerusi : Mazlan Abd Rahman

Setiausaha : Hamzah Mat isa

Bendahari : Mohd Merzuki Mat Salleh

Pen. Setiausaha : Mohd Nizam Bin Ngah

Ahli jawatankuasa Agong: Khairul Rizal Abu Kassim
Ahli-Ahli Jawatankuasa :

AJK : Mohd Zaki Ridzuan

AJK : Hashim Bin Zakaria

AJK : Tajuddin Hj Ishak

PERWAKILAN DAN USUL





Mesy Agong kali ke 30 kali ini dihadiri oleh lebih drp 300 kakitangan pekaian seragam jabatan hutan. Ini adalah 1 rekod kehadiran yang berjaya dicapai sehingga memenuhi ruang dewan banquet malah ramai yang terpaksa berdiri diruang legar pintu masuk dan di luar dewan. Mesy agong kali ini juga menerima 11 usul yang telah dibangkitkan oleh ahli KPHMSM caw Perak. Kesemua usul-usul tersebut tersebut akan diteliti oleh barisan AJK seterusnya dibawa ke dalam Majlis Bersama Jabatan yang akan dipengerusikan oleh Dato' Pengarah.

Tuesday, April 27, 2010

Cabutan Nama Bertuah Ahli KPHMSM

Dalam mesyuarat agong kali ke 30 ini seperti biasa diadakan juga cabutan nama bertuah di kalangan ahli-ahli dan di sini paparkan juga beberapa gambar kenangan ahli yang berjaya mendapatkan pelbagai cenderahati. Ahli yang bertuah pada kali ini banyak dibolot oleh ahli dari daerah Larut & Matang.


Manakala gambar di bawah sekali pula adalah gambar kenangan barisan kepimpinan KPHMSM caw Perak sesi yang lepas (2008-2010)

Petikan Ucapan Airmata Pengerusi

Sebahagian daripada petikan ucapan Pengerusi KPHMSM caw Perak:

"Utk pengetahuan YB Dato’ dan Dato’ Pengarah, kami setuju malah berbangga jika organisasi kita semakin besar dan semakin meningkat. Tapi bila kami dapati penstrukturan semula tsb mengabaikan kami.. maka tersentuhlah hati kami pekerja bawahan. Remuk luluh hati kami bila kami yg dulunya pernah dicanang kononnya sebagai tulang belakang, kamilah penggerak barisan hadapan, malah ada yg mengatakan kamilah nadi jab hutan tapi bila sampai masa re-org tak ada siapa yg memandang bahawa kami jauh tertinggal di bawah."
"Kitalah kakitangan yg lasak meredah hutan.. mendaki bukit dan gunung.. menuruni lembah dan lurah, menempuh pelbagai bahaya, kitalah kakitangan yg menyediakan kawasan lesen pembalakan yg bernilai jutaan ringgit, (bukan kecil tanggungjawab itu) kitalah kakitangan yg mentafsir cukai bernilai jutaan ringgit, (bukan kecil ujiannya), kamilah kakitangan yang mengawal dan mengawasi khazanah alam yg tak ternilai dari diceroboh, (bukan kecil cabarannya), kamilah yang mengutkuasakan undang2 hutan dan jawatan kami tersenarai dlm akta perhutanan negara (bukan kecil jawatannya) tapi dimana silapnya apabila penguatkuasa undang2 dan penjaga alam itu tadi hanyalah seorang pekerja yang bergaji di paras kemiskinan.
Bagaimana munkin kita membicarakan soal integrity..
bagaimana munkin kita membicarakan soal imej…
bagaimana munkin kita membicarakan soal alam sekitar…
kalau sekadar tukang kebun kita amanahkan untuk menjaga khazanah yg amat luas, amat bernilai tetapi terbuka…
Tak siapa tahu.. tak siapa sedar…
Seluruh Malaysia yg diatas mahupun dibawah tak pernah nampak kepincangan ini.
Sbb kita tak pernah merungut, x pernah bersuara, x pernah meledak apatah lagi memberontak. Tidak sama sekali…. Tiba2 penstrukturan semula organisasi.. bukan saja kita tak dinaiktarafkan malah tempat kita bakal diambilalih oleh PPHD. Sudahlah tidak boleh naik… disekat pula." Saya mohon maaf Dato’ Pengarah… sebagaimana dilema Hang Tuah yg takut menderhaka kpd sultannya… begitulah saya Dato’.. tak terlintas langsung dihati nurani ini hendak meninggi suara apatah lagi untuk menderhaka… tapi Dato’, isu ini amat penting bagi kami… ianya melibatkan maruah dan hargadiri… kami juga kakitangan jabatan hutan… kami anak kandung.. bukan anak tiri apatah lagi anak pungut. Maka hargailah kami sewajarnya.

PERASMIAN MESY AGONG SESI 2010-2012

Hari ini pada 27 April 2010, majlis perasmian Mesyuarat Agong Dwi Tahunan ke 30 KPHMSM cawangan Perak telah diadakan di Dewan Banquet, Ibupejabat Perhutanan Negeri Perak. Mesyuarat Agong tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato' Mohd Jamal B. Mahusin Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mewakili Dato' Seri Dr. Abd Rahman. Turut serta ialah Y.Bhg. Dato' Nik Mohd Shah Bin Nik Mustafa Pengarah perhutanan Negeri Perak, Tmbalan Pengarah Operasi En Mohd Zain bin Yusof, Yang Dipertua KPHMSM saudara Zailan bin Kassim, Naib YDP saudara Mohd Sufir Bin Zakaria serta pegawai-pegawai kanan PPNPk.
Amat berpuashati dengan sambutan yang amat hebat dari ahli kesatuan selain terharu dengan sokongan yang diberikan oleh barisan kepimpinan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Penyampaian cenderahati daripada Dato' PPN kepada Dato' Timbalan SUK, cenderahati daripada Pengerusi cawangan Perak kepada dato' PPN dan kepada YDP KPHMSM seta kepada penceramah undangan En. Muhammad bin Abdullah Penolong Pengarah Silvikultur & Perlindungan Hutan.

Monday, April 26, 2010

Jemputan Mesy Agong Caw Perak kali ke30


SEJARAH RINGKAS KPHMSM

Gambar kenangan barisan kepimpinan KPHMSM 2010 bersama En Omar Osman Presiden Cuepacs semasa jamuan makan malam di hotel Grand Continental, Melaka sempena Seminar Khas KPHMSM pada bulan Mac 2010. Di bawah adalah sejarah ringkas KPHMSM

Pada hari ini 08.11.1940, Persatuan Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Semenanjung telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Persatuan itu ditubuhkan ialah untuk meninggikan mutu kerja pegawai-pegawai hutan khususnya dan kemajuan bangsa Melayu amnya. Perjalanan persatuan tersebut walaubagaimanapun telah tergendala semasa pemerintahan Jepun tetapi dapat dijalankan semula pada 7 Julai 1946. Persatuan ini pada mulanya dikenali dengan Persatuan Pegawai-pegawai Hutan Melayu Berjawatan Rendah, Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Tetapi dalam mesyuarat agungnya yang diadakan pada 4 Ogos 1946, nama persatuan itu telah dipinda kepada Persatuan Pegawai-pegawai Hutan Melayu Semenanjung.


Pindaaan tersebut dilakukan bagi membolehkan semua lapisan kakitangan dan pegawai menjadi ahli persatuan. Sebahagian yuran yang dikenakan akan dimasukkan ke tabung derma pelajaran bagi pegawai-pegawai hutan melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Dalam mesyuarat agungnya juga telah dipersetujui supaya orang-orang Melayu terutama dari anak pegawai-pegawai hutan dapat dihantar ke luar negeri untuk menuntut di bidang perhutanan. Rancangan untuk menghantar orang Melayu ke luar negeri ini adalah ekoran dari kesedaran jawatankuasa persatuan yang melihat kekurangan orang-orang Melayu menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan terutamanya di bidang perhutanan. Rancangan ini dijangka akan dimulakan pada penghujung tahun 1947. Sesungguhnya dengan penubuhan Persatuan Pegawai-pegawai Hutan Melayu Semenanjung pada hari ini dalam tahun 1940, menunjukkan adanya kesedaran di kalangan pegawai-pegawai hutan dalam usaha memajukan bangsa Melayu khususnya di bidang perhutanan

SEKAPUR SIREH - Mesyuarat Agong Dwi Tahunan Kali Ke 30

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita masih diberi kesempatan untuk hadir bersama-sama dalam mengeratkan hubungan serta mengukuhkan ukhwah persaudaraan dalam kesatuan ini. Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang bertungkus lumus bekerja keras dalam memastikan majlis ini berjalan lancar. InsyaAllah.

Saya juga ingin mengucapkan rasa penghargaan dan penghormatan kepada semua ahli Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia Cawangan Perak yang selama ini sentiasa memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama saya dalam memperjuangkan hak dan kebajikan kita melalui satu suara dan satu nada.

Penghargaan dan penghormatan ini juga semestinya tidak terlepas untuk saya tujukan kepada semua tetamu jemputan yang sudi hadir ke majlis yang tidak seberapa ini namun mempunyai roh dan semangat persaudaraan dalam perjuangan. Juga untuk semua mantan-mantan pemimpin KPHMSM Cawangan Perak yang selama ini begitu dedikasi dan komited mengharungi jerit perih pahit getir perjuangan. Merekalah yang merintis jalan menghadapi suka duka demi untuk memastikan kita menikmati sedikit kemanisan berjemaah. Dan melalui lorong berliku yang mereka harungi itulah saya kini berada di ruang gelanggang bercahaya dan bergema dengan sokongan tuan-tuan.

Gelanggang telah tersedia, nafiri dan gong dan telah bergema, ayuhlah sahabat-sahabatku, bangunlah saudara-saudaraku, sahutlah laungan bersatu, bukalah pencak tari dan aturlah langkah pendekarmu. Langkah pertama tanda perwira kini bermula.


Khairullah Abd Latiff
Pengerusi KPHMSM Caw Perak