SUARA KPHMSM PERAK
Monday, December 12, 2011
KPHMSM - terima kasih SBPA
Saturday, November 26, 2011
KENAIKAN GRED KAKITANGAN PAKAIAN SERAGAM PERHUTANAN
Alhamdulillah… sujud syukur adalah langkah sebaiknya dalam menerima khabar gembira bahawa Parliment telah meluluskan permohonan kita yang merupakan perjuangan paling besar dan getir sekaligus menjadi kejayaan paling manis dan berharga bagi KPHMSM.
Saya telah mendapat khabar gembira bahawa pada 5 Disember 2011 nanti surat pekeliling mengenai kenaikan gred bagi jawatan Renjer hutan, Pengawas Hutan dan PAK serta PIS akan dikeluarkan oleh pihak JPA. Kenaikan gred ini diberitakan akan mula berkuatkuasa mulai awal 2012.
Formula kenaikan gred yang telah diluluskan adalah sepertimana yang telah kita bangkitkan di dalam memorandum kita yang lalu. Renjer Hutan G17 kini semua telah dinaikkan ke G27. Pengawas Hutan G11 kini dinaikkan ke gred G17 manakala PAK dan PIS R3 kini R11 (masih belum dapat disahkan mengenai permohonan menyerap jawatan ini ke G11)
Dengan perubahan besar ini maka saya amat mengharapkan agar semua warga perhutanan berpakaian seragam dapat meningkatkan ilmu perhutanan serta memantapkan lagi integrity dan imej diri. Ianya belum terlambat untuk membuat perubahan dan kita anggaplah kenaikan gred ini sebagai langkah pertama kita untuk berhijrah menjadi seorang penjawat awam yang lebih baik dari sebelumnya.
Kenaikan gred kita ini juga pasti menjadi pemangkin dan batu loncatan bagi semua kakitangan warga perhutanan lainnya untuk turutsama diiktiraf dan dihargai. Saya amat mengharapkan agar laluan yang telah dirintis ini menjadi teras kepada pihak jabatan untuk menaikkan taraf pegawai atasan lainnya.
(Bagi yang belum menjadi ahli kesatuan- marilah bersama-sama kita menjadikan kesatuan kita ini satu platform bagi menyatupadukan seluruh kakitangan berpakaian seragam. Seandainya hati masih belum terbuka adalah lebih baik diam dari mengeluarkan kata-kata yang mempertikaikan kewujudan kami kerana kami telah membuktikan sumbangan kami. Apa sumbangan anda?)
Thursday, April 7, 2011
MAJLIS MOTIVASI DI EXCELCIOR IPOH
2-3 April 2011. Bertempat di Hotel Excelsior, Ipoh, pihak KPHMSM pusat telah menganjurkan satu seminar motivasi kearah memantapkan lagi perpaduan dan pengukuhan ahli di dalam kesatuan.
Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Omar bin Osman President CUEPACS. Di dalam ucapan perasmian Y.BHG.Dato’ telah menekankan dengan penuh bersemangat mengenai kepentingan berpersatuan dan kekuatan yang perlu dibina dengan perpaduan setiap ahli. Beliau mahu pihak KPHMSM menyahut cabaran untuk mendapatkan keahlian baru agar dapat mencerminkan suara kesatuan sebagai lambang suara seluruh akar umbi.
Y.Bhg.Dato’ juga memuji pihak KPHMSM kerana begitu aktif dalam menjaga kebajikan ahli dan sentiasa memainkan peranan yang baik dalam CUEPACS sehinggakan beliau sendiri sukar untuk menolak pelawaan KPHMSM bagi apa juga majlis yang dianjurkan. Y.Bhg.Dato’ juga berpuashati dengan langkah-langkah yang telah diambil bagi menaikkan gred kakitangan malah menekankan keyakinan beliau bahawa seluruh pegawai pelaksana di Jabatan Perhutanan selayaknya diiktiraf dengan menaikkan gred perkhidmatan.
Walaupun seminar ini berjalan dengan jayanya namun pihak urusetia agak terkilan kerana masih terdapat beberapa ahli yang gagal hadir. Ianya menyebabkan kerugian dari segi kos kerana bilik yang telah disewa dan kekosongan tersebut tidak dapat ditampung oleh ahli lain disaat akhir.
Seminar motivasi kali ini telah disampaikan oleh Y.Bhg.Datok Jamaluddin Mat Isa pada hari pertama yang menekankan mengenai perpaduan dan sejarah KPHMSM. Diikuti oleh sang ‘Bayu Rimba’ pada keesokan harinya yang menekankan dari segi peningkatan Imej yang begitu ketara telah tertinggal jauh dari pasukan beruniform lain. Beliau menyarankan agar seluruh ahli bersedia untuk berHIJRAH minda kearah peningkatan imej yang lebih baik dari sudut fizikal dan mental. Beliau juga menyeru agar seluruh ahli menguasai ILMU teras perhutanan terutamanya DENDROLOGI kerana imej bukan semata-mata pada luaran tetapi sikap dalaman dan pengetahuan serta kemahiran yang kita kuasai. Slot motivasi semakin menyerlah dengan kehadiran Renjer Mazlan atau dikenali dengan panggilan ‘Bro Lan’ yang tampil dengan nada bersemangat dan telus sehingga membuka mata beberapa pihak betapa KPHMSM cawangan Perak mempunyai barisan kepimpinan yang berkaliber.
Saya harap agar pihak KPHMSM pusat dapat menjemput sang ‘Bayu Rimba’ dan ‘Bro Lan’ dalam slot motivasi lainnya yang telah disusun oleh jawatankuasa agong supaya mesej dan ilmu tersebut dapat dikongsi bersama-sama ahli lain. Kita perlu memberi ruang dan peluang kepada ahli kita untuk membuktikan bahawa kita tidak pernah ketandusan tenaga dan kebolehan dalam bidang motivasi ini. Ruang dan peluang yang diberikan pasti akan dapat menggilapkan lagi bakat dan kebolehan mereka.
Monday, February 28, 2011
KURSUS ORIENTASI – JIHAD ILMU DARI KPHMSM CAW. PERAK
Kesatuan beranggapan penyampaian ilmu kepada Pengawas Hutan dan Renjer Hutan akan lebih berkesan jika disampaikan sendiri oleh Renjer Hutan berpengalaman kerana mereka lebih hampir dan lebih memahami selok belok tugasan serta lebih dekat dari segi hubungan yang akan mewujudkan suasana kursus yang lebih mesra seterusnya akan menjadikan ilmu tersebut semakin cepat diterima. Saya amat berbangga dan kagum dengan kemampuan barisan tenaga pengajar yang telah disenaraikan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan mereka menyampaikan ilmu secara yang amat berkesan. Tahniah kepada RH Khairulrizal yang mengendalikan subjek Penguatkuasaan, RH Hairuddin subjek tugasan di BPH, RH Hashim subjek Mensurasi Hutan, Rh Shahrom dan RH Yunus subjek Dendrologi manakala RH Norazahar subjek GIS. Di atas kejayaan tersebut pihak kesatuan bercadang untuk mengadakan satu lagi kursus khas untuk ahli kesatuan bagi memastikan kita sentiasa mengekalkan tahap professional kita dalam bidang perhutanan. Di dalam kursus tersebut juga pihak kesatuan telah menyampaikan saguhati kepada peserta kursus yang mencapai keputusan cemerlang dalam ujian pengenalan daun (PH Mohd Hishammudin dari Renj Slim), kumpulan terbaik (Kumpulan 2 diketuai oleh RH Hasrizal) dan peserta paling popular (PH Abu Bakar Mat Saad dari renj Kuala Sepetang). Aktiviti ‘ice-breaking’ juga telah berjaya merapatkan lagi hubungan sesama peserta dan dalam masa yang sama menerapkan pedoman dan panduan untuk menghadapi realiti tugasan sebenar di lapangan nanti. Tugas kesatuan untuk memperjuangkan hak bagi dinaiktarafkan telah samapi ke kemuncaknya dan hanya menunggu keputusan dari pihak JPA. Oleh yang demikian saya berasakan telah tiba masa bagi kesatuan untuk menumpukan perhatian terhadap penyampaian ilmu kepada ahli-ahli agar kita dibekalkan dengan ilmu secukupnya kerana tugasan kita yang semakin bertambah dan amat kompleks. Ianya juga bagi mengimbangi kepakaran kita yang kita canangkan semasa permohonan kenaikan gred selama ini. Kita perlu membuktikan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang perhutanan sememangnya ada pada diri setiap kakitangan pegawai pelaksana. Inilah Jihad Ilmu yang perlu kita terapkan dan semaikan pada setiap ahli kesatuan kerana hanya dengan ilmulah kita akan dipandang tinggi. Bersama-samalah kita membuka minda dan berjuang menuntut ilmu selagi terdaya bagi menaikkan martabat kita dalam bidang perhutanan. Kita juga harus berlapang dada dan sedia menerima apa juga perubahan demi kemajuan diri yang pastinya akan menaikkan juga imej jabatan kita.
Wednesday, February 16, 2011
SATU SUARA SATU NADA.. KITA LAYAK DIIKTIRAF
Saturday, February 12, 2011
WAKIL KHAS KEMENTERIAN KE LAPANGAN – TAHNIAH DAN TERIMA KASIH- SEMOGA BERJAYA
Tuan Abd. Rahman dan En. Zaki selaku wakil khas dari kementerian telah melihat sendiri organisasi sesebuah renj hutan. Saya telah dijelaskan mengenai hasrat kerajaan berkaitan pengredan kakitangan awam sehinggalah ke wawasan kerajaan untuk menjadikan negara kita negara maju yang mempunyai kakitangan kerajaan yang berpendidikan serta pakar dalam bidang masing-masing. Saya juga sempat berkongsi pendapat dan saling berhujah berkaitan persediaan kita kearah wawasan tersebut serta memperhalusi pro dan kontra nya. Walaupun saya bersetuju dan berbangga dengan hasrat murni kerajaan tersebut tetapi saya terpaksa melihat isu ini dari sudut matahati seorang pengerusi kesatuan yang rata rata ahlinya adalah terdiri dari kakitangan yang tercicir dalam keputusan pelajaran. Saya amat berharap agar kakitangan bawahan di dalam Jabatan Perhutanan khasnya mendapat pembelaan dan pengiktirafan sewajarnya seiring dengan perancangan kerajaan tersebut dan ianya akan cuba diterjemahkan dengan membawa wakil khas kementerian untuk turutserta bersama-sama menjalankan beberapa tugasan rasmi di dalam hutan dan di BPH bagi mendekatkan lagi kefahaman menganai tugasan serta menilai kekuatan dan kepakaran yang ada pada setiap kakitangan.
Beberapa gambar kenangan bersama wakil khas kementerian semasa mengikuti tugasan menyediakan sempadan kawasan kelulusan membalak, penandaan pokok dan tugasan di BPH. Tahniah kepada semua yang terlibat dimana sedikit sebanyak kita telah Berjaya memperlihatkan kepakaran PAK dan Pengawas Hutan kita. Tahniah juga kepada RH Shahrom Murad (Renj Manong) dan RH Mazlan Abd Rahman (Renj Sg. Siput) serta semua kakitangan yang telah menerbitkan rasa hormat dan simpati dari wakil khas kementerian. Terimakasih juga kepada En. Osman dan RH Khairulrizal dari PPN.Perak (Ipoh) serta pasukan dari JPSM (HQ). Bagi saya pula, saya kagum dan bangga dengan kemampuan tuan-tuan. Terima kasih kerana menjadikan hari ini satu sejarah. Dengan kekuatan dan kepakaran yang kita tunjukkan saya berharap agar formula kita diterima untuk dipraktikan iaitu PAK R3 dinaikkan ke Rimbawan G11, Pengawas Hutan G11 dinaikkan ke Renjer G17 - G22 dan Renjer G17 menjadi Pegawai Renj G27 (state). Saya selaku salah seorang yang sentiasa mengikuti tuan Abd Rahman sepanjang 2 hari di Kuala Kangsar ingin memberikan tabik hormat dan rasa penghormatan yang tidak terhingga di atas teladan dan contoh yang tuan tunjukkan kepada saya. Sesungguhnya tuan telah mengajar saya banyak perkara hanya dengan cara menunjukkan teladan yang terhormat. Saya kagum dan amat berterima kasih atas kekuatan jatidiri yang ada pada tuan. Syabas dan tahniah. Tiada siapa yang layak memberi ganjaran di atas keikhlasan dan kejujuran tuan selain Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Dia sebaik-baik pemberi balasan.
Tuesday, January 25, 2011
PERJUMPAAN DENGAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN
Barisan wakil KPHMSM yang telah turut serta terdiri dari saudara Ahmad Shuffir Zakaria (Presiden), saudara Syed Kassim Syed Mustafa (Timb. Presiden), saudara Hasmi Hamidan (setiausaha), saudara Khairulrizal Abu Kassim (Pen. S.U), saudara Shabudin Ahmed (bendahari), Dato’ Jamaluddin Mohd Isa (S.usaha eksekutif) dan Khairullah (Pengerusi cawangan Perak). Manakala pihak KSU membariskan Y.Bhg. Dato’ KSU sendiri (Y.Bhg.Dato’ Zoal Azha Yusof sebagai pengerusi mesyuarat, Datin Junaidah Kamaruddin (S.U Bahagian Kanan) dan En. Abd Wahid Abu Salim (Bahagian Sumber Manusia). Pihak KPHMSM telah membentangkan semua asas-asas utama tujuan dan maksud permohonan melalui memorandum yang dikemukakan. Pihak Y.Bhg. Dato’ KSU bersetuju dan menyokong permohonan tersebut walau bagaimanapun Y. Bhg. Dato’ KSU memaklumkan bahawa terdapat beberapa perkara yang menyebabkan permohonan kita terpaksa ditangguhkan seperti pihak JPA sedang dalam proses membentuk satu kaedah baru berkaitan penyelarasan semua kakitangan perkhidmatan awam termasuklah di bawah Jabatan Perhutanan sendiri, pihak Kementerian Sumber Manusia juga sedang mengkaji pelaksanaan gaji minimum, kemelesetan ekonomi juga mempengaruhi keputusan yang bakal diambil serta permasalahan Jabatan Perhutanan yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan.
Hasil perbincangan yang serius tetapi begitu mesra dan terbuka telah menampakkan satu halatuju yang positif dalam perjumpaan tersebut di mana pihak KPHMSM telah memohon agar tuntutan kita ini diperhalusi dan diangkat sebagai kes berasingan kerana permasalahan yang ditimbulkan tidak sama dengan permohonan jabatan-jabatan lain. Kita telah mengemukakan beberapa perkara utama yang melayakkan tuntutan kita diberi keutamaan seperti:
Pengukuhan Integriti: Semua pihak seluruh negara sekarang sedang serius meningkatkan tahap integriti termasuklah Jabatan Perhutanan sendiri sepertimana resolusi yang dicapai melalui satu deklarasi yang memperakui bahawa tahap integriti masih ditahap rendah. Sehubungan dengan itu kita sepatutnya mengembleng tenaga bersama-sama mengkaji punca permasalahan dan mengambil tindakan mengatasinya. (Tidak perlu dinyatakan disini) tetapi semuanya berkait rapat dengan tuntutan dalam memorandum yang dikemukakan.
Isu alam sekitar: Dunia sekarang sedang memerhatikan dengan penuh ‘minat’ negara-negara yang mempunyai hutan hujan khatulistiwa malah wawasan kita juga untuk menjadi sebuah agensi yang terunggul dalam pengurusan hutan tropika di dunia. Bagi merealisasikan wawasan murni tersebut pembangunan sumber manusia tidak boleh mengenepikan sama sekali kewajaran kedudukan pegawai di lapangan sekarang yang jauh tertinggal di bawah dibandingkan dengan peranan, tanggungjawab, risiko, beban dan amanah besar yang dipikul bukan sahaja untuk jabatan, negara dan dunia malah bagi memastikan kesinambungan tamadun manusia itu sendiri.
Banyak lagi alasan-alasan utama yang dikemukakan tetapi secara keseluruhannya pihak Y.Bhg. Dato’ KSU amat bersetuju malah bersedia untuk terus memperhalusi isu ini seterusnya meneruskan langkah-langkah difikirkan wajar untuk dilaksanakan. Pihak KSU sendiri memperakui bahawa kita jauh tertinggal dan terlepas pandang mengenainya. Walau bagaimanapun ianya berbalik kepada perkara asas iaitu semua permohonan adalah mesti melalui Ketua Jabatan dan kuasa pindaan gred dan skim adalah kuasa mutlak JPA. Kita akur dan faham. Sepertimana lazimnya amalan kita, kita berdoa diikuti dengan usaha seterusnya tawakal dan redha dengan segala ketentuan.