SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Monday, February 28, 2011

KURSUS ORIENTASI – JIHAD ILMU DARI KPHMSM CAW. PERAK

21-23 FEB 2011. Menyedari kepentingan ilmu kepada kakitangan pegawai pelaksana maka KPHMSM Caw Perak telah mengadakan usahasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri untuk menganjurkan kursus Orientasi bagi semua kakitangan baru dilantik. Pihak kesatuan membariskan tenaga pengajar dari kalangan Renjer-Renjer Hutan yang telah diberikan tugasan mengikut subjek masing-masing.
Kesatuan beranggapan penyampaian ilmu kepada Pengawas Hutan dan Renjer Hutan akan lebih berkesan jika disampaikan sendiri oleh Renjer Hutan berpengalaman kerana mereka lebih hampir dan lebih memahami selok belok tugasan serta lebih dekat dari segi hubungan yang akan mewujudkan suasana kursus yang lebih mesra seterusnya akan menjadikan ilmu tersebut semakin cepat diterima. Saya amat berbangga dan kagum dengan kemampuan barisan tenaga pengajar yang telah disenaraikan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan mereka menyampaikan ilmu secara yang amat berkesan. Tahniah kepada RH Khairulrizal yang mengendalikan subjek Penguatkuasaan, RH Hairuddin subjek tugasan di BPH, RH Hashim subjek Mensurasi Hutan, Rh Shahrom dan RH Yunus subjek Dendrologi manakala RH Norazahar subjek GIS. Di atas kejayaan tersebut pihak kesatuan bercadang untuk mengadakan satu lagi kursus khas untuk ahli kesatuan bagi memastikan kita sentiasa mengekalkan tahap professional kita dalam bidang perhutanan. Di dalam kursus tersebut juga pihak kesatuan telah menyampaikan saguhati kepada peserta kursus yang mencapai keputusan cemerlang dalam ujian pengenalan daun (PH Mohd Hishammudin dari Renj Slim), kumpulan terbaik (Kumpulan 2 diketuai oleh RH Hasrizal) dan peserta paling popular (PH Abu Bakar Mat Saad dari renj Kuala Sepetang). Aktiviti ‘ice-breaking’ juga telah berjaya merapatkan lagi hubungan sesama peserta dan dalam masa yang sama menerapkan pedoman dan panduan untuk menghadapi realiti tugasan sebenar di lapangan nanti. Tugas kesatuan untuk memperjuangkan hak bagi dinaiktarafkan telah samapi ke kemuncaknya dan hanya menunggu keputusan dari pihak JPA. Oleh yang demikian saya berasakan telah tiba masa bagi kesatuan untuk menumpukan perhatian terhadap penyampaian ilmu kepada ahli-ahli agar kita dibekalkan dengan ilmu secukupnya kerana tugasan kita yang semakin bertambah dan amat kompleks. Ianya juga bagi mengimbangi kepakaran kita yang kita canangkan semasa permohonan kenaikan gred selama ini. Kita perlu membuktikan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang perhutanan sememangnya ada pada diri setiap kakitangan pegawai pelaksana. Inilah Jihad Ilmu yang perlu kita terapkan dan semaikan pada setiap ahli kesatuan kerana hanya dengan ilmulah kita akan dipandang tinggi. Bersama-samalah kita membuka minda dan berjuang menuntut ilmu selagi terdaya bagi menaikkan martabat kita dalam bidang perhutanan. Kita juga harus berlapang dada dan sedia menerima apa juga perubahan demi kemajuan diri yang pastinya akan menaikkan juga imej jabatan kita.

No comments: