SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Tuesday, January 25, 2011

PERJUMPAAN DENGAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN

Pada 24 Januari 2011 wakil KPHMSM telah dijemput ke Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar bagi menghadiri perjumpaan dengan Y. Bhg. Dato’ KSU untuk membincangkan isu tuntutan melalui memorandum yang telah dikemukakan oleh pihak KPHMSM.
Barisan wakil KPHMSM yang telah turut serta terdiri dari saudara Ahmad Shuffir Zakaria (Presiden), saudara Syed Kassim Syed Mustafa (Timb. Presiden), saudara Hasmi Hamidan (setiausaha), saudara Khairulrizal Abu Kassim (Pen. S.U), saudara Shabudin Ahmed (bendahari), Dato’ Jamaluddin Mohd Isa (S.usaha eksekutif) dan Khairullah (Pengerusi cawangan Perak). Manakala pihak KSU membariskan Y.Bhg. Dato’ KSU sendiri (Y.Bhg.Dato’ Zoal Azha Yusof sebagai pengerusi mesyuarat, Datin Junaidah Kamaruddin (S.U Bahagian Kanan) dan En. Abd Wahid Abu Salim (Bahagian Sumber Manusia). Pihak KPHMSM telah membentangkan semua asas-asas utama tujuan dan maksud permohonan melalui memorandum yang dikemukakan. Pihak Y.Bhg. Dato’ KSU bersetuju dan menyokong permohonan tersebut walau bagaimanapun Y. Bhg. Dato’ KSU memaklumkan bahawa terdapat beberapa perkara yang menyebabkan permohonan kita terpaksa ditangguhkan seperti pihak JPA sedang dalam proses membentuk satu kaedah baru berkaitan penyelarasan semua kakitangan perkhidmatan awam termasuklah di bawah Jabatan Perhutanan sendiri, pihak Kementerian Sumber Manusia juga sedang mengkaji pelaksanaan gaji minimum, kemelesetan ekonomi juga mempengaruhi keputusan yang bakal diambil serta permasalahan Jabatan Perhutanan yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan.
Hasil perbincangan yang serius tetapi begitu mesra dan terbuka telah menampakkan satu halatuju yang positif dalam perjumpaan tersebut di mana pihak KPHMSM telah memohon agar tuntutan kita ini diperhalusi dan diangkat sebagai kes berasingan kerana permasalahan yang ditimbulkan tidak sama dengan permohonan jabatan-jabatan lain. Kita telah mengemukakan beberapa perkara utama yang melayakkan tuntutan kita diberi keutamaan seperti:
Pengukuhan Integriti: Semua pihak seluruh negara sekarang sedang serius meningkatkan tahap integriti termasuklah Jabatan Perhutanan sendiri sepertimana resolusi yang dicapai melalui satu deklarasi yang memperakui bahawa tahap integriti masih ditahap rendah. Sehubungan dengan itu kita sepatutnya mengembleng tenaga bersama-sama mengkaji punca permasalahan dan mengambil tindakan mengatasinya. (Tidak perlu dinyatakan disini) tetapi semuanya berkait rapat dengan tuntutan dalam memorandum yang dikemukakan.
Isu alam sekitar: Dunia sekarang sedang memerhatikan dengan penuh ‘minat’ negara-negara yang mempunyai hutan hujan khatulistiwa malah wawasan kita juga untuk menjadi sebuah agensi yang terunggul dalam pengurusan hutan tropika di dunia. Bagi merealisasikan wawasan murni tersebut pembangunan sumber manusia tidak boleh mengenepikan sama sekali kewajaran kedudukan pegawai di lapangan sekarang yang jauh tertinggal di bawah dibandingkan dengan peranan, tanggungjawab, risiko, beban dan amanah besar yang dipikul bukan sahaja untuk jabatan, negara dan dunia malah bagi memastikan kesinambungan tamadun manusia itu sendiri.
Banyak lagi alasan-alasan utama yang dikemukakan tetapi secara keseluruhannya pihak Y.Bhg. Dato’ KSU amat bersetuju malah bersedia untuk terus memperhalusi isu ini seterusnya meneruskan langkah-langkah difikirkan wajar untuk dilaksanakan. Pihak KSU sendiri memperakui bahawa kita jauh tertinggal dan terlepas pandang mengenainya. Walau bagaimanapun ianya berbalik kepada perkara asas iaitu semua permohonan adalah mesti melalui Ketua Jabatan dan kuasa pindaan gred dan skim adalah kuasa mutlak JPA. Kita akur dan faham. Sepertimana lazimnya amalan kita, kita berdoa diikuti dengan usaha seterusnya tawakal dan redha dengan segala ketentuan.

No comments: