SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Saturday, June 12, 2010

PERLETAKAN JAWATAN SETIAUSAHA

Pada mesyuarat AJK Kphmsm cawangan Perak yang lepas, saya menerima satu berita yang mengejutkan iaitu perletakan jawatan S/usaha iaitu saudara Hamzah bin Mat Isa. Beliau merupakan salah seorang sahabat saya yang sama-sama menempuh suka duka dalam kesatuan. Di saat kesatuan kita telah mula mendapat kepercayaan ahli dengan penambahan bilangan ahli yang begitu banyak dan keyakinan serta penampilan kita juga telah semakin tinggi beliau terpaksa mengundurkan diri dari jawatan setiausaha. Secara peribadinya saya terasa satu kehilangan kerana kami sering bertukar pandangan dan pendapat dalam apa juga yang diperjuangkan.
Walau bagaimanapun sebagai seorang pejuang saya menganggap ini semua asam garam dalam pentas berkesatuan. Saya menerima alasan perletakan jawatan beliau kerana semua ahli tahu bahawa beliau mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan pergerakannya agak terbatas. Kesulitan itulah yang membawa kepada perletakan jawatan kerana beliau tahu kesatuan memerlukan seorang yang lebih cergas dan aktif untuk memegang jawatan sepenting itu.
Oleh yang demikian, mengikut perlembagaan kesatuan sekiranya terdapat ahli yang menolak, melepaskan atau meletak jawatan maka calon yang mendapat undi kedua tertinggi semasa Mesyuarat Agong lalu akan mengisi jawatan tersebut. Sehubungan dengan itu saudara Hairuddin bin Hj Hadi (RH Pengkalan Hulu) telah dimaklumkan seterusnya akan ditawarkan untuk jawatan setiausaha Kphmsm cawangan Perak bagi penggal 2010-2012.
Saudara Hairuddin bin Hj Hadi juga merupakan seorang sahabat saya yang begitu aktif dan lantang. Sememangnya saya selalu mengharapkan beliau berada di dalam kabinet saya untuk sama-sama membawa kesatuan kita ke satu tahap baru. Tahniah saudara Hairuddin dan marilah kita bersama-sama membawa amanah ahli untuk diperjuangkan mengikut rentak dan tari kita sendiri melalui pentas cawangan Perak. Selamat berkhidmat.

No comments: