SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Wednesday, July 25, 2012

Dendro - Mempening




Mempening adalah spesies kaum bukan damar (non dipterokarp)yang sering ditemui di hutan kita.  Ianya tergolong dalam spesies lithocarpus spp dan berada di dalam kelas Kayu Keras Sederhana MHW.  Jika dilihat isi kayunya susunan salurannya mengikut aturan berangkai-rangkai sepertimana juga berangan, bintangor, nyatoh dan bitis.  Kayu ini sering dijadikan tiang, kerangka pintu dan tingkap serta di buat palet.

Dendro- Balau Membatu



Spesies Balau juga merupakan antara spesies yang sering ditemui dan amat bernilai.  Taburan spesies ini boleh dikatakan menyeluruh di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

Tahniah Lantikan Renjer Hutan Baru

Bersempena dengan sambutan bulan Ramadhan yang diberkati, limpahan rezeki digandakan lagi dengan perlantikan 5 orang kakitangan yang dinaikkan pangkat kepada Renjer Hutan bersama seorang kakitangan lantikan terus.  Pegawai terlibat ialah:
1.                  PHTK Ahmad Zamri bin Mat Isa
2.                  PHTK Mohd Fauzi bin Mohd Hassan
3.                  PHTB Mohd Jamil bin Mohd Yusof
4.                  PHTB Hadil Azha bin Turidi
5.                  PHTB Hilmi bin Hamad
6.                  Nor Baizura (Lantikan terus)

KPHMSM Cawangan Perak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas lantikan tersebut dan menaruh sepenuh keyakinan kepada pegawai terbabit untuk memikul amanah besar sebagai seorang Renjer Hutan.  Semoga dengan lantikan ini juga dapat meningkatkan lagi mutu kerja ke arah menaikkan imej jabatan.
KPHMSM Cawangan Perak juga amat berharap agar pegawai-pegawai terbabit dapat memainkan peranan sebaiknya sebagai Ahli Jawatankuasa Perhubungan Kesatuan kerana Mesyuarat Agong tempoh hari telah melantik atas jawatan setiap Renjer Hutan sebagai Ahli Jawatankuasa Perhubungan.  Tahniah dan selamat berkhidmat dengan penuh integriti.

Thursday, July 19, 2012

Meranti Tembaga (shorea leprosula)



Kali ini saya publishkan satu lagi spesies yang banyak terdapat di hutan kita dikenali sebagai Meranti Tembaga (shorea leprosula).  Ianya dari jenis kaum damar (diptrokarp), tergolong dalam kumpulan Meranti Merah Muda dan taburannya pada ketinggian di bawah 1,000 meter a.m.l.

DENDROLOGI- Dari Kphmsm Perak

Bagi membuktikan kesungguhan KPHMSM Perak ke arah meningkatkan imej dan ilmu ahli maka di sini saya buka satu post “Dendrologi’ melalui blog ini.  Semoga ia sedikit sebanyak dapat membantu semua ahli dalam mengulangkaji ilmu dendro.  Sebarang kesilapan atau kemusykilan harap dapat dikongsi bersama.
Entry pertama kita mulakan dengan pengenalan pokok Chengal (balanocarpus_heimii) kerana spesies ini merupakan spesies yang paling berharga buat masa ini.

Monday, July 9, 2012

PERWAKILAN CAWANGAN PERAK DI MAJLIS MAKAN MALAM OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR SEMPENA PERSIDANGAN PERWAKILAN DWI TAHUNAN KPHMSM.

 8 Julai 2012 bertempat di Dewan Bankuet Seri Bestari, Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam seramai 6 perwakilan dan 2 pemerhati dari cawangan Perak telah menghadiri satu majlis makan malam oleh Kerajaan Negeri Selangor sempena Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan KPHMSM sesi 2012-2014.  Perwakilan Perak diwakili oleh Pengerusi, saudari Zuraini (SU), Hj. Tajuddin (bendahari), saudara Shaer Shah (pen SU), saudara Nazeri Shahabudin (AJK Perhubungan) dan saudara Sarijan (AJK) manakala saudara Azharuddin dan Hasanal selaku pemerhati.
                Majlis tersebut telah dihadiri oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Y.Bhg. Dato’ Prof. Dr. Hj Abd Rahman bin Hj Abd Rahim Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia serta seluruh perwakilan dan pemerhati dari 9 cawangan KPHMSM.
                Dato’ Ketua Pengarah seperti biasa sentiasa hadir memberi sokongan yang pasti membuatkan kita lebih bersemangat untuk turut serta bersama Dato’ KP dalam usaha memartabatkan Jabatan Perhutanan kearah mencapai wawasan yang kita impikan.  Sekali lagi perlu dinyatakan disini agar kita saling ingat memperingati untuk meningkatkan ilmu serta menaikkan imej diri agar usaha kearah memberi komitmen terhadap kerjaya akan lebih berkesan.
Selamat bersidang kepada perwakilan Perak dengan penuh rasa tanggungjawab dan beretika agar tidak menjatuhkan imej cawangan Perak.  Cawangan Perak juga kali ini menghantar calon untuk bertanding dalam 2 jawatan utama.  Sekiranya berjaya pasti akan menaikkan lagi semangat untuk terus memperjuangkan kebajikan ahli tetapi seandainya gagal ianya bukan alasan untuk mengundur diri sebaliknya pasti akan menjadi pendukung utama untuk bersama kepimpinan yang dipilih. 



Sunday, June 24, 2012

DERMASISWA DAN SUMBANGAN KPHMSM KEPADA AHLI

Buat tuntutan sekiranya layak. Renjer Hutan sila pastikan setiap kakitangan yang menjadi ahli diberi pengetahuan mengenai sumbangan ini.


1. DERMASISWA KEPADA AHLI ATAU ANAK AHLI YANG MENGAMBIL KURSUS PENGAWAS HUTAN ATAU RENJER HUTAN DI FORTRAIN.

1.1 Sijil Renjer Hutan - 1 semester RM200. Jumlah RM800

1.2 Sijil Pengawas Hutan - 1 semester RM200. Jumlah RM400



2. DERMA BERSARA

2.1 Keahlian 3 tahun dan lebih hingga 10 tahun - RM100

2.2 Keahlian 10 tahun dan lebih hingga20 tahun - RM200

2.3 Keahlian lebih 20 tahun - RM300



3. DERMA KEMATIAN

Kadar maksima mengikut perlembagaan RM500



4. DERMA SAKIT

Dirawat di dalam wad Hospital tidak kurang 4 malam 5 hari – RM300



5. DERMA BERSALIN

Khas kepada ahli wanita sahaja RM100 setiap kali bersalin hingga maksima 5 kali.



6. DERMASISWA KEPADA ANAK-ANAK AHLI

UPSR 5A RM150

PMR 5A keatas RM200

SPM 5A keatas RM250

STPM 3P keatas RM300

Tuesday, June 19, 2012

SLIP GAJI ONLINE JAB. PERHUTANAN NG PERAK

Pendaftaran Bagi Slip Gaji Jabatan Perhutanan Negeri Perak


Mulai Bulan April 2012 slip gaji akan dikeluarkan dengan menggunakan sistem e-speks secara online.

Pastikan perkara ini dahulu sebelum mendaftar :-



1. Anda mempunyai e-mail yang sah dan masih boleh digunakan.

2. Selepas mendaftar pastikan selepas 24 jam , anda semak e-mail anda untuk mendapatkan pengesahan dari e-speks dan anda klik link tersebut.



Disini saya ada sediakan link tersebut:-

link shortcut : https://espeks.perak.gov.my/espeks2/logmasuk.php

Friday, May 18, 2012

MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN KPHMSM PERAK KE 31

Pada 17 Mei 2012 sempurnalah sudah Mesyuarat Agung Dwi Tahunan KPHMSM Perak ke 31 yang dirasmikan oleh Yg.Berusaha Tuan Hj Roslan Ariffin Pengarah Perhutanan Negeri Perak.   Turut serta di dalam majlis ialah tuan President KPHMSM saudara Ahmad Suffir bin Hj Zakaria. 
Dalam ucapan aluan tuan pengerusi cawangan telah banyak menyentuh mengenai perubahan yang perlu segera dilaksanakan oleh semua ahli iaitu mempertingkatkan imej diri.  Imej yang dimaksudkan terbahagi kepada 2 iaitu imej keterampilan diri dan imej melalui ilmu perhutanan. 
Beliau juga memperjelaskan kepada semua ahli kedudukan sebenar isu kenaikan gred kakitangan pakaian seragam Jabatan Perhutanan.  Ramai ahli yang keliru dengan berbagai berita dari pelbagai sumber yang meniupkan khabar yang kurang manis didengar tetapi tuan pengerusi telah menjelaskan panjang lebar kedudukan sebenar.
Pengarah Perhutanan Negeri Perak juga menyentuh mengenai imej dan ilmu.  Sehubungan dengan itu KPHMSM Perak merasakan hijrah imej melalui jihad ilmu perlu menjadi satu wadah perjuangan kesatuan kali ini. 
Undi ahli bagi pemilihan jawatankuasa KPHMSM Perak juga memperlihatkan hampir keseluruhan barisan kepimpinan dirombak.  Di bawah adalah senarai nama barisan kepimpinan KPHMSM Perak bagi penggal 2012-2014.
Pengerusi - Khairullah Abd Latiff (Kekal)
N/Pengerusi - Ahmad Nizam bin Ngah (Baru)
S/Usaha - Zuraini bt Sarudin (Baru)
Pen. S.U - Shaer Shah (Baru)
Bendahari - Hj Tajuddin (Baru)
AJK Agung - Shahrum Murad (Baru)
AJK Cawangan - Hasanal (baru), Sarijan (baru) dan Jamil Yusuf (baru)
Tahniah kepada yang berjaya dan diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, dedikasi dan sabar.  Tahniah KPHMSM Perak.

Sunday, February 5, 2012

Seminar Pelaksanaan SBPA dan Makan Malam Bersama Dato' Dr KP




Pada 4 Feb 2012 bertempat di Sri Malaysia Genting, telah diadakan satu majlis makan malam bersama Dato' Dr KPPSM dan Datok President CUEPACS. Satu majlis yang amat baik dan tepat diadakan oleh KPHMSM bukan sahaja berkaitan SBPA tetapi kerana menjemput Dato' Dr KP dan Datok President CUEPACS yang menyampaikan ucapan dan amanat yang amat berkesan terutamanya disaat moral kakitangan Jabatan Perhutanan jatuh merudum akhir-akhir ini.
Bersesuaian dengan sambutan Maulidur Rasul Dato' Dr KP telah mengambil kesempatan ini untuk memberi motivasi dan amanat yang amat diperlukan oleh seluruh warga pegawai pelaksana Jabatan Perhutanan dengan banyak memberi panduan melalui hadith dan sunnah Rasullah s.a.w. Dato' dr KP juga menyampaikan beberapa petikan dari buku '40 Langkah Menuju Kejayaan'. Antaranya 'Jangan curang dalam kerjaya' dan 'Kawal Hawa Nafsu'. Dato' Dr KP juga mengibaratkan kita dalam jabatan bagai sebuah bahtera yang telah 110 tahun belayar dan pelabuhannya sudah semakin dekat untuk digapai. Apa juga yang telah berlaku biarkan berlaku dan jadikanlah ia sebagai satu teladan, pedoman dan pengalaman, yang penting teruskan perjalanan menuju ke pelabuhan wawasan yang kita impikan dengan memperbaiki apa yang silap, memperkasakan apa yang kurang, meninggalkan apa yang buruk dan menambahkan apa yang baik agar kita mampu sampai ke pelabuhan wawasan dengan jayanya.

Pada hari ini juga merupakan hari ke 114 Dato' memegang teraju jabatan sebagai seorang Ketua Pengarah maka beliau amat mengharapkan agar seluruh kakitangan warga perhutanan untuk sama-sama memertabatkan jabatan yang kita sayangi ini. Beliau juga berharap agar dapat turun ke semua negeri bagi bertemu dengan kita semua agar amanat ini sampai ke seluruh peringkat akar umbi. Saya sebagai seorang pegawai pelaksana yang pertama mengucapkan cinta kepada Dato Dr KP sepertimana yang telah saya ucapkan semasa perjumpaan Dato KP dan warga Perhutanan di Dewan Alwi Kepong diawal pelantikan beliau semakin merasakan nikmat kemanisan cinta itu. Kehangatan cinta itu semakin marak apabila Dato' Dr KP sendiri membalas kata-kata 'cintamu berbalas'. Walaupun ringkas tetapi ianya memberi impak yang amat kuat pada saya untuk mengorak langkah baru penghijrahan ke arah merealisasikan wawasan jabatan bersama beliau.

Datok Omar President CUEPACS juga menyampaikan ucapan dengan amat berkesan. Sepertimana biasa aura Datok President cukup kuat bagi menarik perhatian seluruh warga perhutanan dengan ketelusan dan kelantangan beliau dalam membicarakan soal SBPA. Yang penting buat masa ini adalah sikap kita sendiri untuk sama-sama berubah kerana pucuk kepimpinan telah memberi komitmen yang tinggi dan menjadi tanggungjawab kita untuk merealisasikannya kerana kitalah warga pegawai pelaksana.



Terima kasih juga kepada semua wakil KPHMSM cawangan PERAK yang telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan cenderahati kepada kedua-dua Dato sebagai tanda terima kasih dari PERAK.

Monday, December 12, 2011

KPHMSM - terima kasih SBPA


KPHMSM menyambut baik pelaksanaan SBPA yang telah diumumkan oleh pihak JPA baru-baru ini. Jutaan terima kasih didahulukan atas keperihatinan semua pihak termasuklah kepada Kerajaan Malaysia, JPA, NRE, JPSM, CUEPACS dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam perubahan gred yang bakal dinikmati.


Kejayaan ini pastinya menagih peningkatan usaha dan mutu perkhidmatan dari setiap lapisan bagi memastikan kerjaya kita ini masih relevan dengan arus kemajuan negara yang ingin mencapai taraf Negara Maju Berpendapatan Tinggi.


KPHMSM menyambut baik berita ini walaupun terdapat desas desus bahawa ada nada bantahan kearah penambahbaikan sistem tersebut. Kami sedar dan amat memahami perkara tersebut terutamanya bagi pihak kakitangan yang kurang diberi perhatian dalam perubahan yang bakal dilaksanakan. Setiap yang dibuat pastinya akan terdapat ruang dan kekurangan yang perlu diteliti, walau bagaimanapun kami yakin ianya pasti akan dapat diatasi sebaik-baiknya. Terima kasih. Syukur Alhamdulillah atas limpahan kurnia rezeki.

Saturday, November 26, 2011

KENAIKAN GRED KAKITANGAN PAKAIAN SERAGAM PERHUTANAN

KENAIKAN GRED TELAH DISAHKAN
Alhamdulillah… sujud syukur adalah langkah sebaiknya dalam menerima khabar gembira bahawa Parliment telah meluluskan permohonan kita yang merupakan perjuangan paling besar dan getir sekaligus menjadi kejayaan paling manis dan berharga bagi KPHMSM.
Saya telah mendapat khabar gembira bahawa pada 5 Disember 2011 nanti surat pekeliling mengenai kenaikan gred bagi jawatan Renjer hutan, Pengawas Hutan dan PAK serta PIS akan dikeluarkan oleh pihak JPA. Kenaikan gred ini diberitakan akan mula berkuatkuasa mulai awal 2012.



Sehubungan dengan itu saya bagi pihak KPHMSM amat mengharapkan agar semua kakitangan terbabit dapat menandatangani opsyen penerimaan perubahan tersebut yang akan diedarkan selewat-lewatnya pertengahan bulan Disember.
Formula kenaikan gred yang telah diluluskan adalah sepertimana yang telah kita bangkitkan di dalam memorandum kita yang lalu. Renjer Hutan G17 kini semua telah dinaikkan ke G27. Pengawas Hutan G11 kini dinaikkan ke gred G17 manakala PAK dan PIS R3 kini R11 (masih belum dapat disahkan mengenai permohonan menyerap jawatan ini ke G11)


Dengan perubahan besar ini maka saya amat mengharapkan agar semua warga perhutanan berpakaian seragam dapat meningkatkan ilmu perhutanan serta memantapkan lagi integrity dan imej diri. Ianya belum terlambat untuk membuat perubahan dan kita anggaplah kenaikan gred ini sebagai langkah pertama kita untuk berhijrah menjadi seorang penjawat awam yang lebih baik dari sebelumnya.

Kenaikan gred kita ini juga pasti menjadi pemangkin dan batu loncatan bagi semua kakitangan warga perhutanan lainnya untuk turutsama diiktiraf dan dihargai. Saya amat mengharapkan agar laluan yang telah dirintis ini menjadi teras kepada pihak jabatan untuk menaikkan taraf pegawai atasan lainnya.


Akhir sekali saya ingin merakamkan jutaan terimakasih kepada semua yang terlibat dalam merealisaikan perubahan besar ini. Terimakasih saya kepada President, S.U Agong dan seluruh barisan kepimpinan KPHMSM, JPSM, semua kakitangan yang terlibat dalam lawatan tinjauan NRE ke lapangan, semua kakitangan yang terlibat dalam Mesyuarat Renjer Hutan- bersama jabatan dan NRE, tidak dilupakan Tuan Abd Rahman dari NRE seterusnya seluruh ahli kesatuan yang selama ini berdiri teguh bersama barisan kepimpinan dalam mengharungi pahit getir perjuangan serta memberi kepercayaan tidak berbelah bagi.


(Bagi yang belum menjadi ahli kesatuan- marilah bersama-sama kita menjadikan kesatuan kita ini satu platform bagi menyatupadukan seluruh kakitangan berpakaian seragam. Seandainya hati masih belum terbuka adalah lebih baik diam dari mengeluarkan kata-kata yang mempertikaikan kewujudan kami kerana kami telah membuktikan sumbangan kami. Apa sumbangan anda?)

Thursday, April 7, 2011

MAJLIS MOTIVASI DI EXCELCIOR IPOH





2-3 April 2011. Bertempat di Hotel Excelsior, Ipoh, pihak KPHMSM pusat telah menganjurkan satu seminar motivasi kearah memantapkan lagi perpaduan dan pengukuhan ahli di dalam kesatuan.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Omar bin Osman President CUEPACS. Di dalam ucapan perasmian Y.BHG.Dato’ telah menekankan dengan penuh bersemangat mengenai kepentingan berpersatuan dan kekuatan yang perlu dibina dengan perpaduan setiap ahli. Beliau mahu pihak KPHMSM menyahut cabaran untuk mendapatkan keahlian baru agar dapat mencerminkan suara kesatuan sebagai lambang suara seluruh akar umbi.

Y.Bhg.Dato’ juga memuji pihak KPHMSM kerana begitu aktif dalam menjaga kebajikan ahli dan sentiasa memainkan peranan yang baik dalam CUEPACS sehinggakan beliau sendiri sukar untuk menolak pelawaan KPHMSM bagi apa juga majlis yang dianjurkan. Y.Bhg.Dato’ juga berpuashati dengan langkah-langkah yang telah diambil bagi menaikkan gred kakitangan malah menekankan keyakinan beliau bahawa seluruh pegawai pelaksana di Jabatan Perhutanan selayaknya diiktiraf dengan menaikkan gred perkhidmatan.

Walaupun seminar ini berjalan dengan jayanya namun pihak urusetia agak terkilan kerana masih terdapat beberapa ahli yang gagal hadir. Ianya menyebabkan kerugian dari segi kos kerana bilik yang telah disewa dan kekosongan tersebut tidak dapat ditampung oleh ahli lain disaat akhir.

Seminar motivasi kali ini telah disampaikan oleh Y.Bhg.Datok Jamaluddin Mat Isa pada hari pertama yang menekankan mengenai perpaduan dan sejarah KPHMSM. Diikuti oleh sang ‘Bayu Rimba’ pada keesokan harinya yang menekankan dari segi peningkatan Imej yang begitu ketara telah tertinggal jauh dari pasukan beruniform lain. Beliau menyarankan agar seluruh ahli bersedia untuk berHIJRAH minda kearah peningkatan imej yang lebih baik dari sudut fizikal dan mental. Beliau juga menyeru agar seluruh ahli menguasai ILMU teras perhutanan terutamanya DENDROLOGI kerana imej bukan semata-mata pada luaran tetapi sikap dalaman dan pengetahuan serta kemahiran yang kita kuasai. Slot motivasi semakin menyerlah dengan kehadiran Renjer Mazlan atau dikenali dengan panggilan ‘Bro Lan’ yang tampil dengan nada bersemangat dan telus sehingga membuka mata beberapa pihak betapa KPHMSM cawangan Perak mempunyai barisan kepimpinan yang berkaliber.

Saya harap agar pihak KPHMSM pusat dapat menjemput sang ‘Bayu Rimba’ dan ‘Bro Lan’ dalam slot motivasi lainnya yang telah disusun oleh jawatankuasa agong supaya mesej dan ilmu tersebut dapat dikongsi bersama-sama ahli lain. Kita perlu memberi ruang dan peluang kepada ahli kita untuk membuktikan bahawa kita tidak pernah ketandusan tenaga dan kebolehan dalam bidang motivasi ini. Ruang dan peluang yang diberikan pasti akan dapat menggilapkan lagi bakat dan kebolehan mereka.

Monday, February 28, 2011

KURSUS ORIENTASI – JIHAD ILMU DARI KPHMSM CAW. PERAK

21-23 FEB 2011. Menyedari kepentingan ilmu kepada kakitangan pegawai pelaksana maka KPHMSM Caw Perak telah mengadakan usahasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri untuk menganjurkan kursus Orientasi bagi semua kakitangan baru dilantik. Pihak kesatuan membariskan tenaga pengajar dari kalangan Renjer-Renjer Hutan yang telah diberikan tugasan mengikut subjek masing-masing.
Kesatuan beranggapan penyampaian ilmu kepada Pengawas Hutan dan Renjer Hutan akan lebih berkesan jika disampaikan sendiri oleh Renjer Hutan berpengalaman kerana mereka lebih hampir dan lebih memahami selok belok tugasan serta lebih dekat dari segi hubungan yang akan mewujudkan suasana kursus yang lebih mesra seterusnya akan menjadikan ilmu tersebut semakin cepat diterima. Saya amat berbangga dan kagum dengan kemampuan barisan tenaga pengajar yang telah disenaraikan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan mereka menyampaikan ilmu secara yang amat berkesan. Tahniah kepada RH Khairulrizal yang mengendalikan subjek Penguatkuasaan, RH Hairuddin subjek tugasan di BPH, RH Hashim subjek Mensurasi Hutan, Rh Shahrom dan RH Yunus subjek Dendrologi manakala RH Norazahar subjek GIS. Di atas kejayaan tersebut pihak kesatuan bercadang untuk mengadakan satu lagi kursus khas untuk ahli kesatuan bagi memastikan kita sentiasa mengekalkan tahap professional kita dalam bidang perhutanan. Di dalam kursus tersebut juga pihak kesatuan telah menyampaikan saguhati kepada peserta kursus yang mencapai keputusan cemerlang dalam ujian pengenalan daun (PH Mohd Hishammudin dari Renj Slim), kumpulan terbaik (Kumpulan 2 diketuai oleh RH Hasrizal) dan peserta paling popular (PH Abu Bakar Mat Saad dari renj Kuala Sepetang). Aktiviti ‘ice-breaking’ juga telah berjaya merapatkan lagi hubungan sesama peserta dan dalam masa yang sama menerapkan pedoman dan panduan untuk menghadapi realiti tugasan sebenar di lapangan nanti. Tugas kesatuan untuk memperjuangkan hak bagi dinaiktarafkan telah samapi ke kemuncaknya dan hanya menunggu keputusan dari pihak JPA. Oleh yang demikian saya berasakan telah tiba masa bagi kesatuan untuk menumpukan perhatian terhadap penyampaian ilmu kepada ahli-ahli agar kita dibekalkan dengan ilmu secukupnya kerana tugasan kita yang semakin bertambah dan amat kompleks. Ianya juga bagi mengimbangi kepakaran kita yang kita canangkan semasa permohonan kenaikan gred selama ini. Kita perlu membuktikan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang perhutanan sememangnya ada pada diri setiap kakitangan pegawai pelaksana. Inilah Jihad Ilmu yang perlu kita terapkan dan semaikan pada setiap ahli kesatuan kerana hanya dengan ilmulah kita akan dipandang tinggi. Bersama-samalah kita membuka minda dan berjuang menuntut ilmu selagi terdaya bagi menaikkan martabat kita dalam bidang perhutanan. Kita juga harus berlapang dada dan sedia menerima apa juga perubahan demi kemajuan diri yang pastinya akan menaikkan juga imej jabatan kita.