SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Tuesday, June 22, 2010

PERSIDANGAN PERWAKILAN TRITAHUNAN CUEPACS NG PERAK

Pihak CUEPACS telah mengemukakan surat jemputan kepada KPHMSM cawangan Perak untuk menghantar perwakilan ke Persidangan Tritahunan Cuepacs Sesi 2010-2013 yang akan diadakan pada 28-29 Jun 2010 di Hotel Sri Malaysia, Ipoh. Saya amat menghargai jemputan tersebut dan amat berharap dapat menghadirkan diri sebagai perwakilan walau bagaimanapun pada tarikh yang sama saya juga perlu menghadirkan diri ke Kursus Siasatan Dan Pendakwaan Jabatan Hutan yang akan disampaikan oleh PDRM. Sehubungan dengan itu sebagai sebuah kesatuan yang bergabung dengan CUEPACS, KPHMSM caw Perak akan cuba menghantar sekurang-kurangnya 2 orang perwakilan yang akan diputuskan oleh AJK nanti.

Saturday, June 12, 2010

PERLETAKAN JAWATAN SETIAUSAHA

Pada mesyuarat AJK Kphmsm cawangan Perak yang lepas, saya menerima satu berita yang mengejutkan iaitu perletakan jawatan S/usaha iaitu saudara Hamzah bin Mat Isa. Beliau merupakan salah seorang sahabat saya yang sama-sama menempuh suka duka dalam kesatuan. Di saat kesatuan kita telah mula mendapat kepercayaan ahli dengan penambahan bilangan ahli yang begitu banyak dan keyakinan serta penampilan kita juga telah semakin tinggi beliau terpaksa mengundurkan diri dari jawatan setiausaha. Secara peribadinya saya terasa satu kehilangan kerana kami sering bertukar pandangan dan pendapat dalam apa juga yang diperjuangkan.
Walau bagaimanapun sebagai seorang pejuang saya menganggap ini semua asam garam dalam pentas berkesatuan. Saya menerima alasan perletakan jawatan beliau kerana semua ahli tahu bahawa beliau mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan pergerakannya agak terbatas. Kesulitan itulah yang membawa kepada perletakan jawatan kerana beliau tahu kesatuan memerlukan seorang yang lebih cergas dan aktif untuk memegang jawatan sepenting itu.
Oleh yang demikian, mengikut perlembagaan kesatuan sekiranya terdapat ahli yang menolak, melepaskan atau meletak jawatan maka calon yang mendapat undi kedua tertinggi semasa Mesyuarat Agong lalu akan mengisi jawatan tersebut. Sehubungan dengan itu saudara Hairuddin bin Hj Hadi (RH Pengkalan Hulu) telah dimaklumkan seterusnya akan ditawarkan untuk jawatan setiausaha Kphmsm cawangan Perak bagi penggal 2010-2012.
Saudara Hairuddin bin Hj Hadi juga merupakan seorang sahabat saya yang begitu aktif dan lantang. Sememangnya saya selalu mengharapkan beliau berada di dalam kabinet saya untuk sama-sama membawa kesatuan kita ke satu tahap baru. Tahniah saudara Hairuddin dan marilah kita bersama-sama membawa amanah ahli untuk diperjuangkan mengikut rentak dan tari kita sendiri melalui pentas cawangan Perak. Selamat berkhidmat.

Monday, June 7, 2010

Perhimpunan Bulanan Jun

Antara ucapan Dato' Pengarah kali ini ialah mesyuarat Budget Preview akan diadakan tidak lama lagi. Sehubungan dengan itu beliau berharap agar sekiranya mempunyai apa-apa permohonan bolehlah mengemukakan dengan kadar segera kepada perhatian beliau.
Permohonan kphmsm yang masih belum terlaksana ialah seperti :
1. Bekalan Kamera Kepada setiap Renj dan Unit.
Ianya sepatutnya perlu dibekalkan oleh pihak jabatan tanpa perlu kita memohon kerana jabatan sendiri yang mewajibkan setiap laporan mesti bergambar seperti Laporan Penutup, Laporan Penguatkuasaan, Laporan Pengusahasilan dan sebagainya. Oleh itu bekalan kamera sewajarnya menjadi keutamaan dalam permohonan ke bendahari Negeri.

2. Tambahan Bekalan GPS kepada setiap Renj
Pihak jabatan telah mula melaksanakan penandaan bacaan GPS bagi setiap stesyen sempadan. Ianya adalah satu langkah yang baik walau bagaimanapun bekalan peralatan perlulah mencukupi untuk melaksanakannya di lapangan. Buat masa ini hanya terdapat 1 unit GPS di setiap Renj untuk diguna oleh sekurang-kurangnya 3 pasukan kerja.

3. Mohon diutamakan bekalan pakaian seragam mengikut Pekeliling Ketua Pengarah.
Kita bukan mohon tambahan atau mohon yang bukan-bukan tapi mohon bekalan mengikut apa yang telah dipersetujui malah telah dikeluarkan pekeliling dan disahkan oleh JPA.

4. Mohon dibuka pengisian jawatan Pengawas Hutan dan Renjer Hutan
Pihak jabatan perlu terima hakikat bahawa kekurangan kakitangan telah sampai ke tahap kritikal bagi mengimbangi kehendak masyarakat, isu semasa, kehendak jabatan sendiri dan kehendak alam sekitar.

5. Mohon bekalan ubat ubatan kepada setiap Renj
Kita memantau dan menasihatkan kakitangan kita malah pelesen agar mematuhi kehendak keselamatan dan kesihatan pekerjaan tetapi kita sendiri tidak mendapat bekalan perubatan untuk dibawa semasa kerja di lapangan. Perkara sebegini sepatutnya perlu disediakan oleh pihak jabatan tanpa perlu mana-mana pihak memohon kerana ianya adalah kewajipan majikan.
Ini hanyalah beberapa permohonan yang belum tercapai yang sempat saya tuliskan disini. Masih banyak lagi permohonan yang memerlukan peruntukan untuk dikemukakan. Perlu difahami bahawa semua permohonan ini bukanlah kehendak kphmsm semata-mata tetapi ianya lebih kepada kewajipan majikan untuk melaksanakannya kerana ianya adalah keperluan asas kakitangan pelaksana.

Friday, June 4, 2010

Mesy AJK Kphmsmperak Bil 2/2010

Mesyuarat kesatuan bil 2/2010 telah diadakan di ULP Sg. Siput. Antara agenda mesyuarat kali ini adalah seperti berikut :
1. Post Moterm Penilaian MC&I
2. Persediaan Bengkel Renjer Hutan
3. Persediaan Audit Kesatuan sekerja
4. Usul dan Cadangan

Mesyuarat kali ini juga dikejutkan dengan pengumuman perletakan jawatan Setiausaha En. Hamzah Bin Mat Isa. Walau bagaimanapun semua ahli mesyuarat menerima perletakan jawatan tersebut dengan hati terbuka memandangkan alasan yang diberi adalah amat munasabah iaitu berkaitan kesihatan selepas mengalami kemalangan baru baru ini.

Sehubungan dengan itu calon yang mendapat undi kedua tertinggi semasa Mesy Agong yang lalu secara automatik akan dilantik sebagai Setiausaha kphmsmperak yang baru. Beliau ialah saudara Hairuddin bin Hj Hadi (Renjer Hutan Pengkalan Hulu).

Bengkel Renjer hutan pula memutuskan untuk membentang 4 kertas kerja untuk persembahan semasa seminar Renjer hutan Perak.
Daerah Hulu Perak - Balai Pemeriksa Hutan
Daerah Larut Matang - Pembalakan Haram
Daerah Kuala Kangsar - Prosedur vs Budaya
Daerah Kinta Manjung - Plan GIS

Post Moterm MC&I menerimapakai artikel "Kejayaan MC&I-Dimana Silapnya" sebagai satu rumusan atau pandangan dari kesatuan untuk diedarkan kepada ahli, DFO dan PPN.

mesyuarat juga menerima alasan pengerusi untuk tidak bertanding jawatan Timbalan YDP kerana kita hanya dicalonkan oleh cawangan Kelantan. Manakala saudara Khairulrizal akan dilobi sebaiknya untuk bertanding jawatan penolong setiausaha.

Tuesday, June 1, 2010

Tawaran Untuk Jawatan Timbalan Yang Dipertua kphmsm


Mesyuarat Agong Dwi Tahunan KPHMSM akan diadakan di Ng Sembilan mungkin pada bulan Julai nanti. Saudara Khairul Rizal (Ajk Agong Negeri Perak)telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Pen. Setiausaha oleh cawangan Kedah dan Johor manakala saya sendiri dicalonkan untuk bertanding jawatan Timb. Yang Dipertua kphmsm oleh perwakilan dari cawangan Kelantan. Terimakasih kepada cawangan Kedah, Johor dan Kelantan di atas kepercayaan dan sokongan. Walau bagaimanapun saya rasa saya mungkin saya terpaksa menolak pencalonan tersebut dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada saudara Khairul Rizal. Saya rasa biarlah saya berjuang di peringkat negeri terlebih dahulu dan saya rasa amat selesa berjuang dengan cara saya ini. Saya sentiasa menyokong penuh segala keputusan kesatuan pusat cuma pendekatan perjuangan kita sedikit berbeza. Mungkin suatu hari nanti saya bersedia untuk sama-sama mengatur langkah dari kesatuan Pusat. Insyaallah.