SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Friday, July 30, 2010

KEPIMPINAN BARU 2010-2012 KPHMSM




Mesyuarat Agong Dwi Tahunan KPHMSM baru sahaja selesai dijalankan di Bayu Beach Resort Port Dickson dengan jayanya. Terdapat beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan agong menyebabkan berlaku juga beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan cawangan Perak.

Presiden – Mohd Shuffir bin Zakaria (Kedah/Perlis/P.Pinang) 1,491 undi
Timb. Presiden – Syed Kassim bin Syed Mustafa (Pahang) 1,245 undi
Naib Presiden – Elias bin Awang Kassim (Pahang) 1,428 undi
Setiausaha – Hasmi bin Hamidan (Selangor) menang tanpa bertanding.
Pen. S.U – Khairulrizal bin Abu Kassim (Perak) 1,226 undi
Bendahari – Shahabuddin bin Ahmed (Selangor) menang tanpa bertanding

Pemilihan saudara Khairulrizal bin Abu Kassim ke jawatan Pen. Setiausaha menyebabkan kekosongan kepada jawatan ahli jawatankuasa Agong cawangan Perak. Oleh yang demikian saudara Hashim bin Zakaria akan mengambilalih jawatan tersebut kerana beliau adalah merupakan calon yang mendapat undi kedua terbanyak semasa pemilihan cawangan Perak yang lalu.

Tahniah kepada yang berjaya. Gelanggang telah tersedia, nafiri dan gong telah bergema maka aturlah tari pencak silat sebaiknya. Harapan tergalas tinggi melangit, jika rebah parahnya dalam. Kami di cawangan Perak sentiasa berdiri teguh dibelakang kepimpinan dalam memperjuangkan apa jua yang telah diputuskan bersama. Jagalah adat dan adab dalam bermesyuarah, usaha dan doa dari kami menjadi bekalan. InsyaAllah kita akan berjaya.

Kepada yang gagal kali ini, bukan bermakna kalian rebah dan gugur sia-sia… tetapi kalianlah pejuang yang berani bangun menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab serta mempersembahkan rentak yang hebat sebagai calon pemimpin.


‘Bayu Rimba’

Wednesday, July 21, 2010

PENGISIAN JAWATAN- Suara Kita Tidak Sia-Sia

“Profesion kita sudah semakin hilang profesionalnya…” itulah yang sering kita canangkan kepada pihak atasan kerana kekurangan tenagakerja menyebabkan kita semakin dibebankan dengan tugasan yang berbagai-bagai termasuk yang diluar bidangkuasa kita. Sehingga kita tidak mampu lagi menumpukan perhatian kepada tugas sebenar kita. Kekurangan tenagakerja juga menyebabkan kualiti kerja kita semakin menurun disebabkan tekanan masa dan tenaga serta stress melampau yang ditanggung.
Hampir setiap kali ada peluang kita berbincang dengan pihak atasan kita akan mengemukakan masalah ini. Disetiap forum, setiap perjumpaan dan dimana juga ada peluang kita akan membangkitkan masalah ini kerana isu alam sekitar terutamanya hutan bukan lagi isu terpencil tetapi sudah menjadi isu sejagat. Sehubungan dengan itu apa juga kesempatan yang ada kita jadikan platform untuk semua pihak menilai kembali betapa hutan kita perlu dijaga dengan apa kos sekalipun. Akhirnya suara kita tidak sia-sia. Di Jabatan Perhutanan Perak kini dibuka tawaran sehingga 61 jawatan Pengawas Hutan dan 4 kekosongan untuk Renjer Hutan. Jutaan terima kasih kita ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha murni ini terutamanya kepada Dato’ PPN hari ini yang telah menyediakan kertas kerja sewajarnya untuk diluluskan oleh pihak SPA
Cabaran kepada kita sebagai warga pegawai pelaksana ialah membuktikan kepada pihak atasan bahawa kuantiti yang bertambah ini akan menjamin kualiti kerja nanti. Kita amat mengharapkan agar pihak jabatan mengutamakan pembangunan sumber manusia bagi memastikan tenagakerja yang diambil nanti sentiasa mempunyai kualiti sebenar untuk menjalankan tugasan yang semakin mencabar ini. Semoga usaha murni pihak jabatan tidak terhenti setakat pengisian kekosongan jawatan malah diterjemahkan terus dengan sokongan pembangunan sumber manusia. Sekian, sekali lagi tahniah dan terima kasih kepada semua.
‘Bayu Rimba’