SUARA KPHMSM PERAK

SUARA KPHMSM PERAK

Monday, February 28, 2011

KURSUS ORIENTASI – JIHAD ILMU DARI KPHMSM CAW. PERAK

21-23 FEB 2011. Menyedari kepentingan ilmu kepada kakitangan pegawai pelaksana maka KPHMSM Caw Perak telah mengadakan usahasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri untuk menganjurkan kursus Orientasi bagi semua kakitangan baru dilantik. Pihak kesatuan membariskan tenaga pengajar dari kalangan Renjer-Renjer Hutan yang telah diberikan tugasan mengikut subjek masing-masing.
Kesatuan beranggapan penyampaian ilmu kepada Pengawas Hutan dan Renjer Hutan akan lebih berkesan jika disampaikan sendiri oleh Renjer Hutan berpengalaman kerana mereka lebih hampir dan lebih memahami selok belok tugasan serta lebih dekat dari segi hubungan yang akan mewujudkan suasana kursus yang lebih mesra seterusnya akan menjadikan ilmu tersebut semakin cepat diterima. Saya amat berbangga dan kagum dengan kemampuan barisan tenaga pengajar yang telah disenaraikan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan mereka menyampaikan ilmu secara yang amat berkesan. Tahniah kepada RH Khairulrizal yang mengendalikan subjek Penguatkuasaan, RH Hairuddin subjek tugasan di BPH, RH Hashim subjek Mensurasi Hutan, Rh Shahrom dan RH Yunus subjek Dendrologi manakala RH Norazahar subjek GIS. Di atas kejayaan tersebut pihak kesatuan bercadang untuk mengadakan satu lagi kursus khas untuk ahli kesatuan bagi memastikan kita sentiasa mengekalkan tahap professional kita dalam bidang perhutanan. Di dalam kursus tersebut juga pihak kesatuan telah menyampaikan saguhati kepada peserta kursus yang mencapai keputusan cemerlang dalam ujian pengenalan daun (PH Mohd Hishammudin dari Renj Slim), kumpulan terbaik (Kumpulan 2 diketuai oleh RH Hasrizal) dan peserta paling popular (PH Abu Bakar Mat Saad dari renj Kuala Sepetang). Aktiviti ‘ice-breaking’ juga telah berjaya merapatkan lagi hubungan sesama peserta dan dalam masa yang sama menerapkan pedoman dan panduan untuk menghadapi realiti tugasan sebenar di lapangan nanti. Tugas kesatuan untuk memperjuangkan hak bagi dinaiktarafkan telah samapi ke kemuncaknya dan hanya menunggu keputusan dari pihak JPA. Oleh yang demikian saya berasakan telah tiba masa bagi kesatuan untuk menumpukan perhatian terhadap penyampaian ilmu kepada ahli-ahli agar kita dibekalkan dengan ilmu secukupnya kerana tugasan kita yang semakin bertambah dan amat kompleks. Ianya juga bagi mengimbangi kepakaran kita yang kita canangkan semasa permohonan kenaikan gred selama ini. Kita perlu membuktikan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang perhutanan sememangnya ada pada diri setiap kakitangan pegawai pelaksana. Inilah Jihad Ilmu yang perlu kita terapkan dan semaikan pada setiap ahli kesatuan kerana hanya dengan ilmulah kita akan dipandang tinggi. Bersama-samalah kita membuka minda dan berjuang menuntut ilmu selagi terdaya bagi menaikkan martabat kita dalam bidang perhutanan. Kita juga harus berlapang dada dan sedia menerima apa juga perubahan demi kemajuan diri yang pastinya akan menaikkan juga imej jabatan kita.

Wednesday, February 16, 2011

SATU SUARA SATU NADA.. KITA LAYAK DIIKTIRAF

14 Feb... tarikh bagi anak muda bercinta.. hanyut dengan aliran dakyah, konspirasi dan agenda tersembunyi. Tapi tarikh itu juga tarikh keramat bagi kita warga hutan kerana tarikh inilah penentu kepada masa depan kita. Mesyuarat Renjer Hutan Bil 1/2011 memberi peluang kepada kita untuk meyakinkan wakil kementerian yang turutserta (Tuan Abd Razak Yusuff) bagi mendapatkan maklumat sebenar berkaitan permohonan kita.
Setelah beliau sendiri turun padang ke Kuala Kangsar, Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Bubu dan Balai Pemeriksaan Hutan Sg. Siput kali ini beliau turut serta mendengar dan menyelami kehendak sebenar warga kerja pelaksana. Tahniah untuk seluruh peserta yang terlibat pada hari itu yang telah berusaha sedaya upaya dan memberi segala kerjasama yang tidak berbelah bagi terutamanya dalam penyatuan suara. Tahniah juga kepada JPSM yang telah memberi peluang dan membuka ruang untuk kita menyampaikan hasrat sebenar dan memberi platform yang cukup baik untuk membawa perkara ini ke peringkat tertinggi bagi menjayakan permohonan kita.

Kita telah bersatu hati untuk tetap membawa formula permohonan kita kepada JPA melalui NRE. Cadangan kita PAK R3 dinaikkan menjadi Juruhutan G11, Pengawas Hutan G11 dinaikkan ke G17 manakala Renjer Hutan G17 ke Pegawai renj G27. Sekiranya formula kita ini diterima maka seluruh warga hutan dari yang paling bawah hingga kepimpinan tertinggi akan merasa kenaikannya kerana kita mengharapkan kenaikan kita ini akan dapat melonjakkan PPHD (G27) ke tempat yang lebih tinggi begitu juga PHD. Formula kita ini juga adalah bagi menguatkan jentera kakitangan di bawah kerajaan negeri yang sebelum ini hanya berada digred 17 sedangkan jabatan perhutanan dibawah pentadbiran kerajaan negeri. Ianya juga adalah untuk semua warga hutan yang selama ini menabur bakti menjaga khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Bukan sahaja untuk kita tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia dan dunia kerana pemeliharaan hutan menjamin kesinambungan ketemadunan manusia.

Kita juga didedahkan dengan formula JPSM yang cukup kemas untuk menguatkan lagi organisasi jabatan serta memantapkan lagi jentera pelaksana. Kita amat berbangga dan kagum dengan penghasilan kertas kerja yang begitu teliti dan menyeluruh. Walau bagaimanapun kita dapati kekuatan dan ketelitian tersebut terlalu menumpukan kepada pengujudan dan pengisian jawatan baru. Kita tidak nafikan kekuatan dan kebenarannya tetapi kita berharap agar sedikit perubahan dapat dibuat agar tidak mengenepikan hak kakitangan sendiri yang sedia ada untuk meningkat termasuklah PHD dan PPHD apatah lagi kita pegawai pelaksana di lapangan.
Tahniah juga kepada peserta dari Negeri Perak yang cukup berani tampil ke hadapan membawa segala permasalahan tanpa rasa takut dan bimbang kerana kita sedar hanya inilah masa dan peluang untuk kita cuba meyakinkan pihak kementerian bahawa kita layak malah sepatutnya telah lama diiktiraf. Tahniah untuk Renjer Hashim, Renjer Mazlan, Renjer Khairulrizal dan saudara Sarijan (wakil PAK Perak).

Saturday, February 12, 2011

WAKIL KHAS KEMENTERIAN KE LAPANGAN – TAHNIAH DAN TERIMA KASIH- SEMOGA BERJAYA

KUALA KANGSAR, 9-10 FEB 2011. WAKIL KHAS DARI KEMENTERIAN TELAH DATANG SECARA MENGEJUT BAGI MENDALAMI DAN MENGENALI LEBIH MENDALAM BERKAITAN KAKITANGAN SOKONGAN DI JABATAN PERHUTANAN SUSULAN DARI PERJUMPAAN PIHAK KESATUAN DENGAN DATO’ KSU TEMPOH HARI. ALHAMDULILLAH.. SUARA KITA TIDAK SIA-SIA. PERMOHONAN KITA AGAR KES KITA DIJADIKAN SPECIAL CASE DAN PERLU DITANGANI SEGERA TELAH DIREALISASIKAN OLEH PIHAK KEMENTERIAN YANG TERUS MENGAMBIL LANGKAH KEDUA YG PANTAS DENGAN KEHADIRAN WAKIL KHAS KE LAPANGAN. TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DARI KAMI.
Tuan Abd. Rahman dan En. Zaki selaku wakil khas dari kementerian telah melihat sendiri organisasi sesebuah renj hutan. Saya telah dijelaskan mengenai hasrat kerajaan berkaitan pengredan kakitangan awam sehinggalah ke wawasan kerajaan untuk menjadikan negara kita negara maju yang mempunyai kakitangan kerajaan yang berpendidikan serta pakar dalam bidang masing-masing. Saya juga sempat berkongsi pendapat dan saling berhujah berkaitan persediaan kita kearah wawasan tersebut serta memperhalusi pro dan kontra nya. Walaupun saya bersetuju dan berbangga dengan hasrat murni kerajaan tersebut tetapi saya terpaksa melihat isu ini dari sudut matahati seorang pengerusi kesatuan yang rata rata ahlinya adalah terdiri dari kakitangan yang tercicir dalam keputusan pelajaran. Saya amat berharap agar kakitangan bawahan di dalam Jabatan Perhutanan khasnya mendapat pembelaan dan pengiktirafan sewajarnya seiring dengan perancangan kerajaan tersebut dan ianya akan cuba diterjemahkan dengan membawa wakil khas kementerian untuk turutserta bersama-sama menjalankan beberapa tugasan rasmi di dalam hutan dan di BPH bagi mendekatkan lagi kefahaman menganai tugasan serta menilai kekuatan dan kepakaran yang ada pada setiap kakitangan.
Beberapa gambar kenangan bersama wakil khas kementerian semasa mengikuti tugasan menyediakan sempadan kawasan kelulusan membalak, penandaan pokok dan tugasan di BPH. Tahniah kepada semua yang terlibat dimana sedikit sebanyak kita telah Berjaya memperlihatkan kepakaran PAK dan Pengawas Hutan kita. Tahniah juga kepada RH Shahrom Murad (Renj Manong) dan RH Mazlan Abd Rahman (Renj Sg. Siput) serta semua kakitangan yang telah menerbitkan rasa hormat dan simpati dari wakil khas kementerian. Terimakasih juga kepada En. Osman dan RH Khairulrizal dari PPN.Perak (Ipoh) serta pasukan dari JPSM (HQ). Bagi saya pula, saya kagum dan bangga dengan kemampuan tuan-tuan. Terima kasih kerana menjadikan hari ini satu sejarah. Dengan kekuatan dan kepakaran yang kita tunjukkan saya berharap agar formula kita diterima untuk dipraktikan iaitu PAK R3 dinaikkan ke Rimbawan G11, Pengawas Hutan G11 dinaikkan ke Renjer G17 - G22 dan Renjer G17 menjadi Pegawai Renj G27 (state). Saya selaku salah seorang yang sentiasa mengikuti tuan Abd Rahman sepanjang 2 hari di Kuala Kangsar ingin memberikan tabik hormat dan rasa penghormatan yang tidak terhingga di atas teladan dan contoh yang tuan tunjukkan kepada saya. Sesungguhnya tuan telah mengajar saya banyak perkara hanya dengan cara menunjukkan teladan yang terhormat. Saya kagum dan amat berterima kasih atas kekuatan jatidiri yang ada pada tuan. Syabas dan tahniah. Tiada siapa yang layak memberi ganjaran di atas keikhlasan dan kejujuran tuan selain Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Dia sebaik-baik pemberi balasan.